Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

MAHAR gesa kerajaan tolak pelarian Palestin tidak berkoordinasi, sokong hak pulang

Astro Awani 19/11/2025 | 14:53 MYT
Duta Palestin ke Afrika Selatan, Hanan Jarrar, tersenyum di dalam pesawat membawa warga Gaza, di lokasi yang dinyatakan sebagai Johannesburg, Afrika Selatan. - Reuters.
KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menggesa kerajaan menolak sebarang kemasukan pelarian Palestin yang disifatkan sebagai pergerakan tidak terkoordinasi.

Kenyataan NGO itu pada Selasa berkata ia melibatkan pelarian yang tidak mendapat kebenaran rasmi serta tidak melalui proses kerajaan-ke-kerajaan atau penyelarasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

MAHAR menegaskan, Malaysia harus terus komited menyokong Hak Pulang rakyat Palestin ke tanah air mereka selaras dengan undang-undang antarabangsa.

NGO itu turut menyuarakan kebimbangan mengenai dakwaan penerbangan sewa khas secara sulit yang membawa pelarian ke Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Indonesia.

Presiden MAHAR, Jismi Johari, berkata pergerakan itu adalah usaha terancang menyingkirkan penduduk Gaza secara kekal atas nama pemindahan kemanusiaan dan satu cubaan melakukan perubahan demografi secara paksa.

“Operasi ini adalah satu cubaan jelas untuk melakukan perubahan demografi secara paksa,” katanya.

MAHAR juga menyuarakan kegusaran terhadap organisasi Al-Majd Europe, yang didakwa mengatur operasi penempatan semula pelarian dan mempunyai hubungan dengan rejim Zionis Israel.

NGO pro-Palestin itu juga menegaskan bahawa kemasukan pelarian melalui saluran tidak rasmi bakal menggugat kestabilan negara tuan rumah.

“Langkah ini boleh menjadi mekanisme untuk melemahkan Hak Pulang (Right of Return) serta menggugat kestabilan negara hos,” katanya.

Kenyataan itu timbul selepas sebuah penerbangan sewa khas pada 13 November membawa 153 pelarian Palestin dari Kenya ke Afrika Selatan tanpa cap berlepas biasa.

Pada 16 November, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, memaklumkan bahawa agensi perisikan dan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri sedang menyiasat isu penerbangan “misteri” itu.

Namun, beliau berkata kerajaannya tetap memberikan pengecualian visa selama 90 hari kepada para pelarian yang untuk mendapatkan suaka, meskipun pada mulanya dinafikan kemasukan kerana gagal melepasi temu duga wajib.


#Afrika Selatan #Palestin #rejim Zionis #pelarian