INTERNATIONAL
Mahkamah Agung AS halang pengusiran berpuluh rakyat Venezuela

Kes itu dibawa ke Mahkamah Agung oleh Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) yang memfailkan permohonan mendesak pada Jumaat. - Foto AP
WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat mengeluarkan perintah pada Sabtu untuk menyekat sementara pengusiran berpuluh warga Venezuela, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dalam keputusan itu, dua daripada sembilan hakim - Clarence Thomas dan Samuel Alito - tidak bersetuju, namun seperti lazimnya dalam kes mendesak, alasan penghakiman tidak dinyatakan.
Perintah mahkamah itu menyekat pengusiran "sehingga perintah selanjutnya oleh mahkamah ini".
Kes itu dibawa ke Mahkamah Agung oleh Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) yang memfailkan permohonan mendesak pada Jumaat bagi menghentikan pengusiran yang dijadualkan dari Texas. Menurut laporan media, kumpulan terlibat sepatutnya diterbangkan ke El Salvador di Amerika Tengah.Warga Venezuela berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah Tren de Aragua.
ACLU menyatakan bahawa lelaki-lelaki terlibat tidak diberi peluang proses keadilan sewajarnya. Tidak jelas berapa lama tempoh yang akan diberikan kepada mereka untuk mencabar pengusiran itu susulan keputusan Mahkamah Agung.
Pentadbiran Presiden Donald Trump, yang mengambil alih kerajaan pada Januari dan telah mengambil pendekatan tegas terhadap isu imigresen, belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Bulan lepas, pihak berkuasa AS telah mengusir lebih 200 warga Venezuela dan puluhan rakyat El Salvador dan dihantar ke Penjara CECOT, sebuah fasiliti keselamatan tinggi yang terkenal di El Salvador.
Tren de Aragua digambarkan sebagai kumpulan samseng ganas dari Venezuela yang terlibat dalam pemerdagangan manusia, dadah dan pemerasan, dan disenaraikan oleh Amerika Syarikat sebagai organisasi pengganas asing.
Asas undang-undang bagi pengusiran itu adalah Akta Musuh Asing 1798, satu undang-undang kontroversi yang jarang digunakan dan membenarkan presiden mengusir warga asing semasa peperangan atau pencerobohan. Undang-undang itu pernah digunakan ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua untuk menahan rakyat Jepun dan Jerman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami