Skip to main content

Dunia

Mahkamah Sri Lanka perintah serah 84 jenazah kru kapal Iran kepada Kedutaan Iran

Bodies of Iranian sailors are taken out of a van and moved to the mortuary at Karapitiya Hospital after a submarine attack on the Iranian military ship Iris Dena off Sri Lanka, in Galle, Sri Lanka, March 4, 2026. REUTERS/Thilina Kaluthotage
Mayat anak kapal Iran dibawa keluar dari sebuah van dan dipindahkan ke rumah mayat di Hospital Karapitiya selepas serangan ke atas kapal tentera laut Iran, Iris Dena, berhampiran Sri Lanka. Galle, Sri Lanka, pada 4 Mac lalu. - Gambar Reuters

KARACHI: Mahkamah di Sri Lanka pada Rabu mengarahkan pihak hospital menyerahkan jenazah 84 anak kapal Iran kepada Kedutaan Iran di Colombo selepas ditemukan di laut susulan serangan oleh kapal selam Amerika Syarikat (AS) minggu lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.

Majistret Kanan Galle Sameera Dodangoda mengeluarkan perintah itu susulan permohonan yang difailkan oleh pihak polis, lapor saluran media tempatan Daily Mirror.

Advertisement

Jenazah tersebut kini ditempatkan di dalam dua unit simpanan sejuk beku mudah alih di sebuah hospital di Galle, bandar pesisir pantai di selatan Sri Lanka.

Mangsa adalah antara mereka yang terkorban selepas kapal selam AS menyerang kapal perang Iran IRIS Dena di perairan berhampiran Sri Lanka Rabu lepas. 

Tentera Laut Sri Lanka melancarkan misi menyelamat sejurus selepas insiden itu.

Tentera Iran melaporkan, serangan AS itu mengorbankan 104 daripada 130 kru kapal. 

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Sri Lanka menyatakan mereka menemukan 84 mayat di laut dan menyelamatkan 32 anak kapal, manakala 14 lagi masih hilang.

Beberapa hari kemudian, Sri Lanka turut memindahkan 208 anak kapal dari sebuah lagi kapal Iran, IRIS Bushehr, selepas ia meminta bantuan daripada Colombo.

Kedua-dua kapal itu dalam perjalanan pulang dari latihan tentera laut Milan Peace 2026 di India.

Sri Lanka pada Isnin menyatakan ia akan memberikan visa selama sebulan kepada anak kapal Iran yang terselamat.

Serpihan dan tong minyak daripada kapal IRIS Dena yang karam kemudiannya terdampar di sepanjang kawasan pantai selatan Sri Lanka, mendorong usaha pembersihan dan pemantauan alam sekitar oleh pihak berkuasa, lapor media tempatan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video