Mahkamah Thailand arah bekas PM Thaksin bayar cukai lebih RM2 bilion – Laporan

Thaksin, 76, antara individu terkaya di Thailand, kini menjalani hukuman penjara di Bangkok atas kesalahan rasuah ketika memegang jawatan. - Gambar fail Reuters
BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand pada Isnin mengarahkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, yang kini menjalani hukuman penjara, untuk membayar tunggakan cukai berkaitan penjualan syarikat telekomunikasi miliknya, menurut kenyataan pihak kehakiman.
Beberapa laporan media tempatan menyebut jumlah yang perlu dibayar mencecah 17.6 bilion baht (sekitar AS$540 juta atau RM2.24 bilion).
Jurucakap mahkamah, Suriyan Hongvilai berkata, keputusan itu mengetepikan keputusan mahkamah rayuan sebelum ini, sekali gus memaksa Thaksin mematuhi arahan Jabatan Hasil untuk melunaskan cukai berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak mendedahkan alasan penuh keputusan tersebut.
Isu ini berpunca daripada penjualan saham syarikat Shin Corp kepada Temasek Holdings dari Singapura pada 2006, yang ketika itu mencetuskan kontroversi kerana didakwa bebas cukai.
Urus niaga bernilai AS$1.9 bilion itu mencetuskan bantahan besar sehingga membawa kepada rampasan kuasa yang menyingkirkan Thaksin daripada jawatan Perdana Menteri.
Thaksin, 76, antara individu terkaya di Thailand, kini menjalani hukuman penjara di Bangkok atas kesalahan rasuah ketika memegang jawatan.
Pertikaian cukai ini kembali hangat pada 2017 apabila pihak berkuasa mengenakan tuntutan cukai bernilai AS$500 juta, sekali gus menghidupkan semula konflik politik antara Thaksin dan golongan elit pro-tentera serta pro-raja.
Keluarga Shinawatra telah menjadi pencabar utama blok politik pro-establishment selama dua dekad, dengan pendekatan populis mereka dianggap mengancam susunan sosial tradisional negara itu.
Dinasti politik itu juga berdepan beberapa siri kemunduran, termasuk keputusan mahkamah yang menyingkirkan anak perempuan Thaksin, Paetongtarn, daripada jawatan Perdana Menteri pada Ogos lalu atas pelanggaran etika. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


