BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Rabu menolak petisyen untuk mengkaji semula keputusan parlimen yang menafikan pencalonan semula pemimpin Parti Move Forward (MFP) Pita Limjaroenrat untuk undian kedua bagi jawatan perdana menteri sekali gus memusnahkan harapan parti itu untuk membentuk kerajaan.

Mahkamah berkata keputusan itu adalah sebulat suara.

Menurut mahkamah, petisyen dikemukakan oleh sekumpulan individu itu tidak termasuk calon perdana menteri.

"Hak mereka tidak dilanggar secara langsung. Mereka tidak mempunyai hak untuk memfailkan aduan itu," menurutnya dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, sekutu MFP memfailkan petisyen dengan Pejabat Ombudsman terhadap resolusi Parlimen pada 19 Julai yang menghalang Pita daripada dicalonkan sebagai calon perdana menteri buat kali kedua selepas percubaan pertamanya gagal.

Keputusan pada Rabu akan memberi laluan kepada Parlimen untuk bersidang dalam beberapa hari lagi mengundi perdana menteri baharu.

Parti Pheu Thai, yang menduduki tempat kedua dalam pilihan raya umum 14 Mei dengan 141 kerusi, dijangka mencalonkan ahli perniagaan Srettha Thavisin sebagai perdana menteri.

Pheu Thai keluar daripada pakatan bersama MFP awal bulan ini dan kini mengetuai gabungan dengan lapan parti lain, termasuk Parti Bhumjaithai, dalam usaha untuk memecahkan kebuntuan politik untuk membentuk kerajaan baharu, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum 14 Mei.

Pada masa ini, gabungan itu mempunyai sejumlah 238 kerusi dalam Dewan Perwakilan yang dianggotai 500 orang.

Bagaimanapun, gabungan itu masih kekurangan sokongan yang diperlukan, yang perlu ditambah dengan sokongan daripada 250 Senator Dewan Negara kerana seorang perdana menteri memerlukan 376 undi daripada 750 ahli dwidewan untuk membentuk kerajaan.

-- BERNAMA