DUNIA
Majlis Keselamatan PBB kecam serangan di Qatar tanpa menyebut Israel

Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani berucap di hadapan para perwakilan semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, pada Khamis. - Gambar Reuters
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (11 Sept) mengecam serangan ke atas Qatar awal minggu ini dan menggesa langkah meredakan ketegangan, tanpa menamakan Israel yang didakwa melakukan serangan itu.
Dalam kenyataan bersama, majlis berkenaan menegaskan kepentingan usaha de-eskalasi dan menyatakan solidariti terhadap Qatar.
Semua 15 anggota majlis termasuk sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat (AS), sepakat menyokong kenyataan tersebut.
“Ahli majlis juga menegaskan sokongan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Qatar,” menurut kenyataan itu.Selasa lalu, Israel melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Qatar, Doha, dengan sasaran kepimpinan Hamas.
Walaupun pemimpin tertinggi kumpulan itu dilaporkan terselamat, lima anggotanya terbunuh manakala seorang anggota pasukan keselamatan Qatar turut terkorban.
Kenyataan Majlis Keselamatan turut menyifatkan Doha sebagai “wilayah bagi salah satu perantara utama” dalam rundingan damai antara Israel dan Hamas, selain Mesir dan Amerika Syarikat.
“Ahli majlis menegaskan bahawa pembebasan tebusan, termasuk mereka yang terbunuh oleh Hamas serta menamatkan perang dan penderitaan di Gaza mesti kekal sebagai keutamaan,” tambah kenyataan itu.
Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani yang menghadiri mesyuarat tergempar di New York, mengalu-alukan sokongan PBB dan menegaskan komitmen negaranya untuk terus memainkan peranan sebagai perantara.
“Kami akan meneruskan peranan kemanusiaan dan diplomatik tanpa ragu, demi menghentikan pertumpahan darah.
"Namun pada masa sama, kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang serangan ke atas kedaulatan kami. Qatar berhak bertindak balas berlandaskan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Al-Thani turut mengecam kepimpinan Israel sebagai “pelampau ganas tanpa peri kemanusiaan”.
Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan tindak balas Israel selepas itu, Majlis Keselamatan sering buntu ekoran veto berulang kali oleh Amerika Syarikat dan beberapa anggota lain.
Namun, Presiden AS Donald Trump dalam reaksinya berkata beliau “tidak senang” dengan serangan di Doha pada Selasa, yang menyasarkan kompleks kediaman pemimpin Hamas di pusat bandar.
Sementara itu, Pemangku Duta AS ke PBB, Dorothy Shea dalam mesyuarat berkenaan menegaskan, serangan unilateral di Qatar sebagai sebuah negara berdaulat “tidak membantu matlamat Israel mahupun Amerika”.
“Walau begitu, adalah tidak wajar mana-mana pihak menggunakan isu ini untuk mempersoalkan komitmen Israel membebaskan tebusan mereka,” katanya.
Shea turut menambah menyingkirkan Hamas kekal sebagai matlamat penting, sambil menyifatkan serangan itu sebagai “malang”, namun, menurutnya Presiden Trump percaya ia boleh menjadi peluang untuk keamanan.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Politik, Rosemary DiCarlo, memberi amaran serangan berkenaan adalah “peningkatan membimbangkan” dalam konflik berterusan.
“Serangan Israel ke atas Doha berpotensi membuka bab baharu yang berbahaya dalam konflik ini, sekali gus mengancam keamanan serta kestabilan serantau,” tegasnya. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami