BANGKOK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus mengambil tindakan untuk memastikan kerajaan tentera Myanmar mematuhi Resolusi 2669 yang diterima pakai tahun lepas untuk menamatkan keganasan dan memulihkan demokrasi.

Selepas 74 tahun, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi pertama mengenai Myanmar pada 21 Disember 2021.

Resolusi itu menggariskan "kebimbangan yang mendalam terhadap keadaan darurat berterusan yang dikenakan tentera pada 1 Februari 2021 dan kesannya terhadap rakyat Myanmar" dan menuntut "semua bentuk keganasan di seluruh negara dihentikan segera".

Resolusi itu seterusnya meminta tindakan segera dan konkrit untuk "melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) yang dipersetujui pada 24 April 2021".

Tuntutan operasi yang dibuat oleh Majlis Keselamatan PBB dianggap tertakluk di bawah undang-undang antarabangsa.

Chris Sidoti dari Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) berkata selama dua tahun, tentera telah melakukan tindakan keganasan secara sistematik, pelanggaran terhadap undang-undang hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta kesalahan jenayah yang serius.

"Majlis Keselamatan mesti bertindak menguatkuasakan pematuhan tentera terhadap resolusi itu, termasuk mengenakan sekatan bersasar ke atas kewangan tentera, sekatan senjata yang komprehensif dan rujukan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

SAC-M menegaskan Majlis Keselamatan PBB mesti bertindak balas terhadap ketidakpatuhan tentera Myanmar menerusi tindakan, bukan sekadar kata-kata.

"Keganasan di Myanmar telah meningkat tahun ini dan secara langsung menentang Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2669 dan 5PC ASEAN.

"Sejak resolusi itu diterima pakai, laporan menunjukkan bahawa tentera terus melancarkan serangan udara dan tembakan artileri ke atas orang awam, membunuh kumpulan penentang serta membakar rumah dan harta awam setiap hari," katanya.

Sejak dua minggu lalu, SAC-M menerima laporan mengenai satu pasukan tentera memenggal kepala 18 anggota penentang dan dua kanak-kanak, membunuh 16 orang awam, termasuk tiga wanita dirogol sebelum dibunuh, di tiga perbandaran di Wilayah Sagaing.

Sementara itu, Yanghee Lee dari SAC-M berkata ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing dan tenteranya telah mengingkari resolusi Majlis Keselamatan PBB.

"Ia adalah tentera sama yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya lima tahun lalu. Sekali lagi, masyarakat antarabangsa memerhati, kali ini mereka menyerang seluruh negara dan menghakis keselamatan Asia Selatan dan Tenggara. Ini adalah isu global dan Majlis Keselamatan mesti bertindak," katanya.

Ahli pengasas SAC-M Marzuki Darusman berkata keganasan melampau terhadap penduduk mesti dihentikan - ini adalah keperluan minimum untuk menyaksikan sebarang kemajuan, oleh ASEAN dan m PBB ke arah penyelesaian krisis di Myanmar.

"Kebenarannya ialah 5PC gagal sementara keganasan junta semakin meningkat. Tetapi Min Aung Hlaing tidak mempamerkan sebarang usaha mengekang kekejaman itu.

"Majlis Keselamatan PBB mesti bertindak menyokong ASEAN untuk memaksa beliau berbuat demikian. Tiada pilihan lain," kata bekas pengerusi Misi Pencarian Fakta Antarabangsa Bebas PBB di Myanmar.

Majlis Keselamatan pada Isnin akan memperoleh laporan daripada Duta Khas Setiausaha Agung PBB mengenai Myanmar dan Menteri Luar Indonesia, Pengerusi ASEAN tahun ini, mengenai sokongan PBB untuk pelaksanaan 5PC.

Sejak rampasan kuasa pada Feb 2021, lebih 3,000 orang awam telah terbunuh, lebih 16,000 ditangkap, manakala lebih 1.5 juta telah berpindah atau telah melarikan diri dari negara itu, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP).

-- BERNAMA