TEHRAN: Majlis Pakar Iran dijangka mengadakan sesi penting dalam tempoh 24 jam akan datang bagi membincangkan pemilihan pemimpin agung baharu susulan kekosongan jawatan tertinggi republik itu.
Perkembangan itu disahkan oleh Ayatollah Mozaffari, salah seorang anggota majlis berkenaan, yang menyatakan keyakinannya bahawa mesyuarat boleh diadakan pada bila‑bila masa, walaupun sehingga kini belum ada pertemuan rasmi dijalankan.
Advertisement
Menurut laporan media serantau, sebelum ini terdapat dakwaan bahawa satu sesi tertutup telah pun berlangsung pada Sabtu, namun mesyuarat tersebut didakwa tidak dapat diteruskan sepenuhnya susulan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan AS dan Israel.
Difahamkan, mesyuarat itu turut membincangkan calon yang dikatakan mendapat sokongan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
Dalam perkembangan berkaitan, laporan berasingan menyebut Majlis Pakar dijangka bersidang dalam tempoh 24 jam bagi meneruskan proses pemilihan pemimpin agung yang baharu, selaras dengan keperluan Perlembagaan negara itu.
Pemilihan tersebut menjadi keutamaan selepas situasi keselamatan Iran terus tegang di tengah-tengah ketegangan ketenteraan antara Tehran, Amerika Syarikat dan Israel.
Majlis Pakar - sebuah badan ulama berpengaruh yang dipilih rakyat memegang kuasa mutlak untuk melantik pemimpin agung baharu melalui undian majoriti mudah.
Mesyuarat mereka seterusnya menjadi tumpuan dunia kerana keputusan itu bakal menentukan hala tuju politik dan keselamatan Iran pada saat republik tersebut berdepan tekanan geopolitik paling besar dalam sejarah moden.
Iran kehilangan Pemimpin Agungnya, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel pada 28 Februari lalu.
Pemergian beliau sekali gus membuatkan Republik Islam itu kehilangan tokoh yang selama lebih tiga dekad menjadi pihak berkuasa tertinggi politik, ketenteraan dan ideologi negara itu.
Ulama berusia 86 tahun itu memegang kuasa yang meluas merangkumi angkatan tentera, badan kehakiman dan dasar luar Iran, dengan keputusan beliau mengatasi keputusan Presiden mahupun Parlimen. - Agensi