Skip to main content

Sukan

Colby Covington dilapor bersara, tinggalkan legasi kontroversi dalam UFC

Covington 🇺🇸 Season 33 Premiere 5/27 ESPN PLUS x ESPN2
Walaupun tidak pernah bergelar juara dunia rasmi UFC, Covington tetap dianggap antara figura paling berpengaruh dalam era moden welterweight kerana gabungan kemampuan teknikal dan elemen hiburan yang dibawanya. - Foto Instagram/@therichiebanks

BEKAS juara interim welterweight UFC, Colby Covington, dilaporkan telah memaklumkan kepada UFC mengenai keputusan untuk bersara daripada arena seni bela diri campuran (MMA) profesional.

Petarung berusia 38 tahun dari Amerika Syarikat itu menamatkan karier dengan rekod keseluruhan 17 kemenangan dan lima kekalahan (17-5), selain pernah menjadi antara nama paling menonjol dan kontroversi dalam divisyen welterweight UFC.

Covington, lahir pada 22 November 1987 di Oregon, mula dikenali menerusi latar belakang gusti kolej sebelum beralih ke MMA profesional. Selepas menyertai kem latihan terkenal American Top Team, beliau menandatangani kontrak bersama UFC pada 2014.

Debut UFC Covington berlangsung pada 23 Ogos 2014 apabila beliau menewaskan Wang Anying menerusi TKO pusingan pertama. Prestasinya kemudian terus meningkat dengan kemenangan ke atas beberapa nama besar seperti Mike Pyle, Dong Hyun Kim dan Demian Maia.

Kemuncak kariernya hadir pada UFC 225 pada 9 Jun 2018 apabila beliau menewaskan Rafael dos Anjos menerusi keputusan sebulat suara untuk merangkul gelaran interim welterweight UFC.

Covington kemudian membina imej 'super villain' dalam UFC menerusi gaya bercakap provokatif, sokongan terbuka terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta pendekatan 'trash talk' yang sering mencetuskan kontroversi.

Di dalam Octagon, beliau dikenali dengan gaya bertarung berasaskan gusti, tekanan berterusan dan jumlah pukulan tinggi yang memenatkan lawan.

Antara pertarungan paling diingati dalam kariernya ialah menentang juara welterweight UFC ketika itu, Kamaru Usman, di UFC 245 pada 14 Disember 2019.

Walaupun tewas menerusi TKO pada pusingan kelima, pertarungan itu dianggap antara yang terbaik dalam sejarah divisyen welterweight dan menerima anugerah Fight of the Night.

Covington turut mencipta rekod UFC apabila mencatat 541 pukulan signifikan ketika menewaskan Robbie Lawler pada UFC on ESPN 5 pada 2019.

Selain itu, pertarungan penuh dendam menentang Jorge Masvidal di UFC 272 pada 2022 turut menjadi perhatian dunia MMA selepas kedua-dua petarung mempamerkan aksi agresif selama lima pusingan. Pertarungan itu juga menerima bonus Fight of the Night.

Walaupun tidak pernah bergelar juara dunia rasmi UFC, Covington tetap dianggap antara figura paling berpengaruh dalam era moden welterweight kerana gabungan kemampuan teknikal dan elemen hiburan yang dibawanya.

Laporan media Amerika Syarikat menyebut Covington kini aktif dalam acara gusti profesional Real American Freestyle (RAF) selepas kali terakhir beraksi dalam UFC pada Disember 2024.


-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video

Advertisement