SEPASANG suami isteri tetap melangsungkan majlis perkahwinan mereka ketika gunung berapi Taal meletus dan memuntahkan asap tebal.

Majlis yang berlangsung di Cavite itu diteruskan dalam keadaan tenang dan damai pada Ahad lalu walaupun sedang berlatarbelakangkan kepulan asap letusan yang jaraknya hanya sekitar 20 kilometer.

Bukan tidak gementar atau takut, sebaliknya pasangan Chino Vaflor dan Kat Palomar berjaga-jaga dan memantau keadaan semasa menerusi sosial media.

Ribuan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berisiko diarahkan berpindah selepas gunung berapi Taal mengeluarkan asap tebal dan abu sejak beberapa hari lalu.

Jurugambar majlis, Randolf Evan berkata mereka hanya menyedari aktiviti gunung berapi itu sekitar jam 2 petang.

“Kejadian berlaku satu jam sebelum majlis bermula dan kami berjaya merakam semua momen bermula daripada persiapan, majlis resepsi dan gambar-gambar lain,” katanya.

Jay-Ar-Fortaleza yang bekerja dengan Randolf Evan Photography memberitahu komitmen terhadap tugas membantu mereka untuk meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Majlis perkahwinan ini mesti diteruskan walaupun berlaku letusan gunung berapi Taal,” jelasnya.

Dalam pada itu, lebih 200 gempa bumi turut dikesan di kawasan sekitar.

Letusan terakhir gunung berapi terjadi pada tahun 1965 yang mengorbankan lebih 200 orang.