KUALA LUMPUR: Malaysia dan 11 negara lain mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel yang menyasarkan pangkalan udara tentera Abu al-Duhur di barat laut Syria, menyifatkan serangan itu sebagai “peningkatan ketegangan yang melampau” dan “pencabulan terang-terangan” terhadap kedaulatan, keutuhan wilayah serta kesatuan politik Syria.
Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, Menteri-Menteri Luar dari Malaysia, Turkiye, Algeria, Indonesia, Jordan, Lubnan, Mauritania, Pakistan, Palestin, Qatar, Arab Saudi dan Somalia menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap tindakan berterusan menyasarkan dan memusnahkan wilayah serta infrastruktur Syria.
“Serangan ini merupakan peningkatan ketegangan yang melampau dan pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan, keutuhan wilayah serta kesatuan politik Republik Arab Syria,” menurut kenyataan itu.
Menteri berkenaan memberi amaran bahawa tindakan sedemikian secara langsung berisiko menjejaskan usaha Syria untuk memulihkan keselamatan, membina semula institusi negara serta menangani kesan kemanusiaan akibat konflik berpanjangan selama bertahun-tahun.
Mereka seterusnya menegaskan bahawa pencabulan berterusan Israel terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria berisiko meningkatkan lagi ketegangan, menjejaskan keamanan serta kestabilan serantau, selain menghakis penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri berkenaan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil “pendirian tegas, jelas dan berprinsip” dalam menghadapi apa yang mereka sifatkan sebagai serangan berterusan terhadap Syria.
Mereka turut menggesa masyarakat antarabangsa mengambil “langkah konkrit, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, bagi menamatkan pencabulan ini”.
Menteri itu secara khusus menggesa “pematuhan sepenuhnya terhadap Perjanjian Pemisahan Pasukan 1974 serta pengunduran tentera Israel dari kawasan yang diduduki mereka”, sambil menegaskan langkah itu perlu “bagi mencegah peningkatan ketegangan selanjutnya dan melindungi keamanan serta kestabilan serantau”.
Perjanjian Pemisahan Pasukan 1974 antara Syria dan Israel mewujudkan zon penampan serta pemisahan pasukan susulan perang Arab-Israel 1973, dengan Pasukan Pemerhati Pengunduran PBB (UNDOF) ditempatkan bagi memantau pelaksanaannya.
Menteri berkenaan turut menekankan “keperluan untuk menghormati kedaulatan, kemerdekaan, keutuhan wilayah dan kesatuan politik Syria” serta menegaskan penolakan mereka terhadap “sebarang usaha untuk menjejaskannya”.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan ketika ketegangan serantau semakin memuncak, dengan 12 negara berkenaan memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan berterusan terhadap wilayah Syria boleh mengancam lagi keamanan dan kestabilan di seluruh rantau itu.
Menteri berkenaan mengulangi bahawa penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB kekal penting bagi mencegah peningkatan ketegangan selanjutnya serta melindungi keamanan dan kestabilan serantau.
-- BERNAMA