KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyertai sesi pendengaran awam bagi memperoleh Pendapat Nasihat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu kenyataan berkata, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi pendengaran terbabit untuk meneliti kesan perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin dari 19 hingga 26 Februari 2024

Mohamad juga dijangka menyampaikan kenyataan Lisan Malaysia di Peace Place, The Hague, di Belanda pada 22 Februari, jam 5.10 petang waktu tempatan  (23 Februari  pada jam 12.10 tengah malam waktu Malaysia).

"Saya akan diiringi oleh pegawai-pegawai daripada Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara dan akan menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia pada 22 Februari 2024, jam 5.10 petang waktu tempatan (23 Februari 2024 pada jam 12.10 malam waktu Malaysia).

"Permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ini terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diterima pakai pada 30 Disember 2022. Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan,"  ujarnya.

Tambah beliau, ia merupakan prosedur yang berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel yang telah difailkan di ICJ pada 29 Disember 2023.

Sementara, prosedur Pendapat Nasihat ini pula adalah susulan daripada permohonan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung PBB.

"Ia merupakan satu proses penting bagi memperoleh nasihat perundangan daripada ICJ, selaras dengan Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ," katanya.

Dalam prosiding Pendapat Nasihat kali ini, Perhimpunan Agung PBB telah mengemukakan beberapa persoalan perundangan bagi ICJ memberikan pendapatnya, antaranya: 

i. Kesan perundangan yang timbul akibat pencabulan berterusan oleh Israel terhadap hak rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri .

ii. Dasar dan tindakan oleh Israel yang memberi kesan terhadap status perundangan Pendudukan Israel tersebut.

iii. Kesan perundangan kepada semua Negara dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hasil Pendudukan tersebut.

Sebelum  ini, Malaysia, kata Mohamad, terlebih dahulu telah menyertai prosiding bertulis dengan mengemukakan Kenyataan Bertulis kepada ICJ pada 25 Julai 2023.

Kenyataan Bertulis itu antara lain menekankan hujahan berkaitan dasar dan tindakan Israel, termasuk pendudukan berterusan, aktiviti penempatan dan pengilhakan di dalam wilayah Palestin, yang mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri.

Penyertaan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam ini merupakan penglibatan secara langsung kali kedua dalam prosedur berkenaan.

Pada 2004, Malaysia telah menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembok di dalam Wilayah Pendudukan Palestin.