DUNIA
Malaysia bimbang konflik Thailand-Kemboja - Mohamad

Mohamad berkata Malaysia mengikuti dengan penuh kebimbangan insiden pertempuran antara pasukan tentera Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia, atas kapasitinya selaku Pengerusi ASEAN, bersedia untuk memudah cara penyelesaian yang boleh diterima bersama terhadap pertikaian sempadan yang semakin meruncing antara Thailand dan Kemboja, mengakibatkan kehilangan nyawa dan menimbulkan kebimbangan di peringkat serantau.
Ringkasan AI
- Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, bersedia memudah cara penyelesaian damai terhadap pertikaian sempadan Thailand-Kemboja yang telah mengorbankan nyawa dan menimbulkan kebimbangan serantau.
- Menteri Luar dan Perdana Menteri Malaysia menggesa kedua-dua negara menahan diri, melaksanakan gencatan senjata serta membuka ruang dialog diplomatik demi keamanan serantau.
- Ketegangan meningkat sejak insiden berdarah di Preah Vihear pada 28 Mei, disusuli pertempuran pada 24 Julai dan tindakan balas diplomatik oleh kedua-dua negara.
"Malaysia bersedia menawarkan bantuan menerusi jasa baik Pengerusi ASEAN dalam memudah cara jalan penyelesaian secara berbaik-baik untuk menangani isu berkenaan yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak," tambah beliau.
Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi 2025, menandakan kali kelima negara memegang jawatan itu selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
ASEAN dianggotai 10 negara: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Mohamad menekankan kepentingan menyelesaikan pertikaian sempadan melalui dialog dan diplomasi dalam semangat perpaduan ASEAN dan kejiranan yang baik.
Pada Khamis, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Anwar merayu kedua-dua pemimpin itu agar segera melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk dan membuka ruang untuk dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik.
Pasukan tentera Thailand dan Kemboja dilaporkan bertempur pada Khamis di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei susulan satu insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Pada Rabu, kerajaan Thailand menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja sebagai tindak balas segera selepas seorang anggota tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api yang didakwa baru dipasang.
Kerajaan Kemboja kemudiannya turut bertindak balas dengan menurunkan hubungan diplomatik dengan Thailand ke tahap paling rendah pada Khamis.
-- BERNAMA
Dapatkan berita ASEAN 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami