Malaysia gesa tangani konflik Gaza dengan penyelesaian komprehensif, berlandas undang-undang antarabangsa

Pada Isnin, UNSC meluluskan resolusi digubal AS bagi menubuhkan BoP sebagai badan peralihan baharu dan memberi kuasa kepada ISF untuk menyelia tadbir urus, pembinaan semula dan keselamatan di Semenanjung Gaza. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia menganggap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang diluluskan pada 17 Nov sebagai satu langkah positif ke arah menamatkan konflik di Gaza.
Ringkasan AI
- Malaysia menganggap resolusi Majlis Keselamatan PBB sebagai langkah positif untuk menamatkan konflik di Gaza.
- Resolusi itu memperakui Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik di Gaza yang diumumkan di Mesir.
- Malaysia menyokong usaha ke arah merealisasikan sebuah Negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967.
"Keputusan Majlis Keselamatan PBB ini akan membuka jalan bagi penubuhan Lembaga Keamanan (BoP) dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang berperanan untuk memudah cara pembinaan semula, pemulihan ekonomi dan penyahtenteraan di Gaza.
"Keamanan yang berkekalan di Palestin dan serantau hanya dapat dicapai melalui satu penyelesaian yang inklusif dan komprehensif," menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong semua usaha yang berteraskan undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB, ke arah merealisasikan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai Ibu Negara.
Pada Isnin, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi digubal Amerika Syarikat (AS) bagi menubuhkan BoP sebagai badan peralihan baharu dan memberi kuasa kepada ISF untuk menyelia tadbir urus, pembinaan semula dan keselamatan di Semenanjung Gaza
Resolusi itu menerima 13 undian menyokong, manakala China dan Rusia berkecuali.
Ia menetapkan bahawa kehadiran BoP dan ISF "yang diberikan kuasa melalui resolusi akan kekal berkuat kuasa sehingga 31 Dis 2027, tertakluk kepada tindakan lanjut Majlis dan sebarang pembaharuan mandat ISF hendaklah dibuat dengan kerjasama serta penyelarasan penuh bersama Mesir, Israel dan negara anggota lain yang terus bekerjasama dengan ISF," menurut laporan Anadolu Ajansi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


