Skip to main content

Malaysia

Surcaj bahan api feri ke Langkawi dilaksana secara bersasar, terhad

61695656203_FeriLangkawi.jpg
Surcaj itu dikenakan kepada pelancong tempatan dan tidak dikenakan kepada penduduk tetap Langkawi, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU). - Gambar fail

ALOR SETAR: Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) menjelaskan pelaksanaan surcaj bahan api bagi perkhidmatan feri Langkawi bersifat bersasar dan terhad, selaras dengan pendekatan digariskan kerajaan.

Pengurus Besar Ferry Line Baharin Baharom berkata surcaj itu dikenakan kepada pelancong tempatan dan tidak dikenakan kepada penduduk tetap Langkawi, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Advertisement

Beliau berkata penumpang tanpa MyKad tidak dikenakan surcaj kerana tambang bagi golongan itu dikenakan kenaikan RM10 berkuat kuasa 15 April, menjadikan tiket sehala dari Kuala Perlis pada RM45 bagi dewasa dan RM35 kanak-kanak manakala dari Kuala Kedah, RM55 dewasa dan RM42 kanak-kanak. 

“Walaupun surcaj dikenakan kepada pelancong tempatan, kami ingin menegaskan harga tiket feri ke Langkawi masih berada pada tahap yang rendah dan munasabah, malah antara yang paling kompetitif di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharin berkata kadar surcaj bagi laluan Kuala Perlis-Langkawi antara RM1.05 dan RM3.80 manakala bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi daripada RM1.35 hingga RM4.80.

Menurut beliau, kadar itu juga kecil berbanding peningkatan sebenar kos bahan api yang ditanggung pengusaha feri.

Baharin berkata pendekatan itu juga membuktikan kerajaan dan pengusaha feri mengambil langkah seimbang serta bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan rakyat tempatan terus dilindungi selain akses kepada pengangkutan maritim kekal terjamin dan industri pelancongan Langkawi terus bertahan.

“Kami menyeru semua pihak agar memahami bahawa pelaksanaan surcaj ini langkah perlu dalam keadaan kos yang semakin mencabar dan dilaksanakan dengan penuh pertimbangan terhadap kepentingan rakyat serta industri pelancongan negara,” katanya.

Baharin berkata pihaknya turut menyambut baik langkah kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam memperkenalkan mekanisme surcaj bahan bakar bunker sebagai langkah mitigasi terhadap peningkatan kos operasi sektor feri.

Beliau berkata walaupun bersifat sementara dan hanya menyumbang sebahagian kecil kepada kos sebenar yang ditanggung pengusaha, langkah itu satu pendekatan pragmatik dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan feri kepada rakyat dan pelancong.

Berhubung catuan perjalanan feri, Baharin berkata pihaknya menyedari rungutan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan pengguna, namun menegaskan langkah itu satu keperluan operasi yang tidak dapat dielakkan dalam keadaan kos yang amat mencabar ketika ini.

Semalam, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar sebagai langkah mitigasi sementara berkuat kuasa 20 April bagi menampung sebahagian kecil peningkatan kos operasi tanpa menjejaskan akses rakyat kepada perkhidmatan pengangkutan awam maritim.

MOT memaklumkan ketegangan geopolitik di Asia Barat menjejaskan kestabilan pasaran tenaga global dan rantaian logistik antarabangsa, selain menyebabkan peningkatan ketara harga diesel marin global, sekali gus memberi tekanan besar kepada kos operasi sektor pengangkutan maritim domestik.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video