Skip to main content

Dunia

Malaysia mahu kerjasama pertahanan ASEAN-Jepun lebih bersepadu - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled turut menggesa kerjasama lebih erat antara pelbagai EWG memandangkan cabaran keselamatan yang saling berkaitan memerlukan tindakan yang lebih bersepadu dan teratur. - Gambar Reuters
Mohamed Khaled turut menggesa kerjasama lebih erat antara pelbagai EWG memandangkan cabaran keselamatan yang saling berkaitan memerlukan tindakan yang lebih bersepadu dan teratur. - Gambar Reuters

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa kerjasama pertahanan ASEAN dengan Jepun dan akan dialog lain diperkukuh menerusi pendekatan lebih bersepadu, fleksibel dan responsif bagi menangani cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks, termasuk ancaman siber, perubahan iklim serta teknologi baharu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kitaran keenam Kumpulan Kerja Pakar (EWG) di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) membuka peluang untuk menjadikan kerjasama pertahanan serantau lebih fokus dan berkesan.

“Apa yang kita perlukan ialah fleksibiliti yang lebih besar dalam cara kita bekerjasama, bukannya terus menambah skop tugas yang perlu dilaksanakan,” katanya berucap pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Jepun di Cebu, Filipina, pada Rabu

Turut hadir Menteri Pertahanan Jepun, Koizumi Shinjiro dan Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN lain.

Teks ucapan Mohamed Khaled diedarkan kepada Bernama di sini.

Mohamed Khaled berkata, cabaran yang semakin berkembang seperti perubahan iklim, ancaman siber dan kecerdasan buatan (AI) melangkaui bidang keselamatan konvensional dan sewajarnya ditangani melalui mekanisme sedia ada sedaya mungkin.

Beliau menyentuh usaha mengintegrasikan risiko keselamatan berkaitan perubahan iklim dalam aktiviti bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HADR) serta keselamatan maritim, selain menangani teknologi baharu melalui latihan bersesuaian dan pertukaran kepakaran teknikal. 

Mohamed Khaled turut menggesa kerjasama lebih erat antara pelbagai EWG memandangkan cabaran keselamatan yang saling berkaitan memerlukan tindakan yang lebih bersepadu dan teratur.

Beliau mengambil contoh Eksesais Trident Resolve, iaitu latihan lapangan bersepadu pertama  melibatkan EWG bagi HADR, Perubatan Ketenteraan serta Keselamatan Siber yang diadakan tahun ini, yang membuktikan kepentingan menggabungkan kepakaran pelbagai bidang dalam menangani krisis kompleks.

“Latihan pada masa hadapan perlu merangkumi senario lebih realistik dan melibatkan pelbagai aspek bagi meningkatkan keupayaan untuk beroperasi bersama-sama, di samping memanfaatkan kepakaran dan sumber sedia ada dengan lebih berkesan,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan rakan luar, Mohamed Khaled berkata, Malaysia kekal terbuka untuk memperluas kerjasama praktikal yang dapat memperkukuh kerjasama pertahanan ASEAN, termasuk menerusi Program Pemerhati EWG ADMM-Plus.

Beliau berkata, program itu boleh ditambah baik dengan mengadakan sesi pertukaran yang lebih tersusun, memberi peluang kepada pemerhati untuk berkongsi kepakaran berkaitan serta penglibatan dalam sesi perbincangan dan penilaian selepas latihan, mengikut bersesuaian.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, peluasan kerjasama itu perlu disertai komitmen yang lebih kukuh dalam kalangan negara ASEAN dalam menentukan hala tuju sendiri, manakala pemilihan rakan kerjasama, bentuk kerjasama dan penetapan keutamaan hendaklah dibuat berdasarkan keputusan bersama serta kesepakatan semua negara anggota.

Beliau berkata, pengalaman, kepakaran dan keupayaan Jepun mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan pertahanan ASEAN menerusi latihan khusus, pemindahan teknologi serta inisiatif praktikal untuk meningkatkan keupayaan negara anggota.

Beliau turut menyambut baik sokongan berterusan Jepun dalam aspek tindak balas bencana, keselamatan maritim, daya tahan siber serta teknologi baharu khususnya dalam bidang yang memerlukan bantuan tambahan oleh ASEAN. 

“Matlamat kita seharusnya untuk memperkukuh keupayaan dan daya tahan ASEAN agar mampu berdikari, bukannya mewujudkan kebergantungan jangka panjang terhadap bantuan luar,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan Jepun dan rakan ADMM-Plus lain bagi memastikan kerjasama pertahanan serantau kekal relevan serta mampu memenuhi keperluan keselamatan yang sentiasa berubah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement