SINGAPURA: Malaysia telah memulakan transformasi untuk menambah baik tadbir urus data melalui penilaian semula Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan semakan peraturan subsidiari.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, keutamaan terhadap aspek keselamatan siber telah menjadi keperluan segera disebabkan kemajuan teknologi pesat yang menyumbang kepada ancaman siber.

Bercakap pada Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) kali keempat di Singapura, beliau berkata, adalah penting untuk mengukuhkan keyakinan terhadap kaedah kendalian data peribadi.

"Dengan kekerapan pelanggaran data yang semakin meningkat menjadi kewajaran untuk rakyat dan rakan kongsi antarabangsa kami menjangkakan rangka kerja privasi dan keselamatan yang berkesan.

"Selain itu, objektif kami untuk menyelaras perundangan Malaysia berdasarkan penanda aras global dengan itu mewujudkan iklim perundangan yang berkongsi pendirian sama mengenai perlindungan data seperti negara anggota ASEAN dan masyarakat antarabangsa yang lebih luas," katanya.

Beliau berkata, kementerian yang baru ditubuhkan itu juga mempamerkan keazaman kerajaan Malaysia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam ekonomi digital global serta kekal sebagai kuasa berdaya saing di pentas global.

Bagi menyokong hasrat ini, beliau berkata, Malaysia melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Digital melancarkan inisiatif strategik nasional Malaysia Digital (MD) untuk menjayakan Koridor Raya Multimedia (MSC) demi menangani cabaran utama dalam landskap transformasi digital masa kini dan menyediakan ekosistem ekonomi digital yang kukuh dan fleksibel.

Inisiatif MD, sejajar dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, menyediakan status dan faedah syarikat yang lebih fleksibel, termasuk insentif cukai yang dipertingkatkan, Bill of Guarantees (BoG) yang diperbaharui dan lokasi inklusif untuk operasi perniagaan di seluruh negara.

MD juga memperkenalkan projek digital pemangkin baharu di bawah program PeMangkinMD, dikelompokkan merentasi pelbagai sektor industri seperti Perdagangan Digital, Pelancongan, Pertanian dan Pembuatan, mengguna pakai teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Blockchain, Cloud, 5G dan Robotik.

Melalui pelbagai program di bawah inisiatif MD, seperti eUsahawan (Keusahawanan Digital), Malaysia telah melatih lebih setengah juta usahawan dengan lebih separuh daripada mereka merupakan usahawan wanita.

Ini penting kerana ia membolehkan kerajaan memupuk ekonomi digital yang teguh, dinamik dan inklusif di Malaysia.

Bagi memudahkan proses transformasi kerajaan digital, Gobind berkata kerajaan digital yang berkesan bukan sahaja mengenai dasar tetapi juga mengenai penyampaian perkhidmatan yang ketara.

"Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan keupayaan kerajaan digitalnya dan memacu transformasi digital di seluruh negara.

"Komponen utama usaha ini ialah MyDIGITAL yang diunjurkan menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025," katanya.

ADGMIN 2024 berfungsi sebagai platform penting yang menghimpunkan usaha kerjasama negara anggota ASEAN dalam mentransformasikan rantau ini secara digital.

ADGMIN tahun ini bertemakan "Building an Inclusive and Trusted Digital Ecosystem." - BERNAMA