Syarikat penerbangan Gulf Air milik Kerajaan Bahrain akan memulakan kembali penerbangan ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat (Manama-Kuala Lumpur).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, ia terkandung dalam perbincangan pembangunan rangkaian baharu di antara tiga syarikat penerbangan tempatan, MAS, AirAsia serta Malindo Air dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dimulakan bersama Bahrain Airport Company (BAC).

"Perbincangan itu juga telah menarik perhatian mengenai kerjasama antara KLIA dan Manama di mana Bahrain ketika in sedang membangunkan sebuah terminal lapangan terbang untuk dijadikan hab baru penerbangan di rantau Arab.

"Ini sekali gus memberi pilihan baharu kepada warga Malaysia ke rantau Arab ataupun ke Eropah selain memberi peluang kepada syarikat penerbangan tempatan untuk meluaskan rangkaian masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ab Aziz berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi BAC yang diketuai Ketua Pengarah Pengurusan BAC Mohamed Yousif Al-Binfalah bersama Pengurus Kanan Gulf Air, Ali Mohamed Al-Khalifa.

Dalam pada itu Ab Aziz berpandangan, bekerjasama dengan syarikat penerbangan dari Timur Tengah yang merupakan ahli kepada Arab Civil Aviation Commission (ACAC) itu memudahkan penerbangan masuk ke Arab Saudi.

"Insiden sebelum ini telah menyaksikan terdapat sebilangan jemaah umrah yang terkandas akibat menggunakan syarikat penerbangan swasta tidak mendapat permit mendarat akibat faktor keselamatan terbang (airworthiness).

"Kerjasama ini dapat memudahkan bakal jemaah umrah untuk menjadikan Bahrain sebagai satu pintu masuk alternatif ke Arab Saudi," jelasnya.