KUALA LUMPUR: Khamis 30 Mac 2023, menandakan peristiwa bersejarah bagi Malaysia dan Vietnam apabila kedua-dua negara Asia Tenggara itu menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dua hala mereka.

Menyedari bahawa hubungan antara kedua-dua negara itu lebih daripada mesra, Penasihat Utama Pusat Penyelidikan Pasifik Dr Oh Ei Sun berkata lebih banyak manfaat dijangkakan daripada hubungan baik itu.

Beliau berpendapat bahawa kedua-dua negara boleh belajar banyak perkara daripada satu sama lain daripada segi reformasi ekonomi dan keterbukaan.

"Kita wajar memanfaatkan pasaran biasa dan FTA (perjanjian perdagangan bebas) dengan baik untuk saling meneroka pasaran dan mempromosi perdagangan dan pelaburan," katanya kepada Bernama.

Selain bidang ekonomi, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu berkata masih ada ruang untuk memperdalam dan meluaskan kerjasama antara kedua-dua negara, termasuk dalam ikatan rakyat dengan rakyat.

Sebagai contoh, katanya, perlu ada lebih banyak penerbangan terus antara bandar-bandar utama dan lebih banyak laluan perkapalan antara pelabuhan utama kedua-dua negara.

"Pertukaran dalam bidang pendidikan juga perlu diperkukuh, supaya pelajar dapat belajar lebih lama di universiti masing-masing selain penubuhan kampus cawangan," kata Oh.

Berkongsi sentimen yang sama, Pengarah di Pusat Serantau ASEAN Universiti Malaya (CARUM), Dr Rahul Mishra berkata kedua-dua negara boleh mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang dan bekerjasama untuk mencapai pemulihan dan pembangunan sosioekonomi.

Ini boleh dicapai dengan mengoptimumkan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi, buruh, perdagangan, pelaburan, pertanian dan perikanan, industri makanan halal, makanan diproses, dan komponen elektronik.

Ini adalah ruang jelas untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, katanya, sambil menambah Vietnam dan Malaysia perlu bekerja lebih rapat untuk memupuk perpaduan dalam ASEAN dan mempromosi pemusatan blok itu dalam menangani isu serantau yang baharu muncul.

"Kedua-dua negara perlu mengekalkan kerjasama untuk meningkatkan kecekapan pelbagai FTA dengan mana-mana negara yang menandatanganinya, Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)," katanya.

Menerusi pemeteraian perjanjian perkongsian strategik pada 2015, Mishra berkata pengukuhan kerjasama dengan Vietnam merupakan keutamaan bagi Malaysia.

Pada 2022, hubungan dua hala Malaysia dan Vietnam melakar satu lagi peristiwa penting apabila Persatuan Persahabatan Malaysia-Vietnam (MVFA) diwujudkan yang bertujuan untuk menyumbang ke arah mengeratkan persahabatan, kerjasama dan persefahaman antara rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata Malaysia kini merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Vietnam di ASEAN dan kesembilan di peringkat global manakala Vietnam adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.

"Malaysia adalah pelabur kedua terbesar Vietnam di ASEAN dengan 668 projek pelaburan dan jumlah modal berdaftar AS$13 bilion, kedua selepas Singapura, dan berada pada tangga ke-10 dalam kalangan 140 negara dan wilayah yang melabur di Vietnam," katanya.

Kedua-dua negara bersetuju untuk mencapai sasaran AS$18 bilion daripada segi perdagangan dua hala menjelang 2025. Jumlah dagangan Malaysia-Vietnam pada 2022 mencecah AS$19.44 bilion, meningkat 16.2 peratus berbanding 2021, katanya.

"Ini merupakan pencapaian yang luar biasa memandangkan jumlah dagangan telah melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak AS$18 bilion dalam tempoh setahun," kata Mishra sambil menambah bahawa pencapaian ini menunjukkan wujud prospek yang baik bagi kedua-dua negara untuk meneroka dan meningkatkan lagi pertumbuhan dan pembangunan bersama pada masa hadapan.

Eksport utama Vietnam ke Malaysia termasuk beras, litar bersepadu, peralatan penyiaran, petroleum mentah serta elektronik dan komponen manakala eksport utama Malaysia ke Vietnam meliputi litar bersepadu, petroleum ditapis, peranti semikonduktor, aluminium mentah dan minyak sawit.

-- BERNAMA