MERUPAKAN antara negara terawal yang membuka kembali sektor pelancongannya, Maldives kini berusaha untuk menjadi paling hadapan dalam pelancongan vaksin.

Jabatan Pelancongan negara itu mengumumkan rancangan untuk menawarkan vaksin kepada pelancong semasa ketibaan dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Menteri Pelancongan Maldives, Dr Abdulla Mausoom mengesahkan, negara itu sedang mengembangkan skim "pelancongan 3V", iaitu Visit, Vaccinate and Vacation.

Menurut Mausoom, negara itu merancang untuk memberikan dua dos vaksin kepada pengunjung.

Katanya, mereka yang mendaftar dengan program itu perlu tinggal di Maldives selama beberapa minggu.

Beliau dalam masa sama berharap program tersebut dapat membantu meningkatkan pelancongan di negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi itu, yang menerima rata-rata 1.7 juta pelancong setahun sebelum wabak COVID-19 melanda.

Bagaimanapun, skim 3V, jelas Mausoom, tidak akan bermula sehingga semua 550,000 penduduk negara itu divaksin.

"Idea ini bertujuan untuk menyediakan pelancongan yang cukup selamat. Jadi setelah penduduk negara ini diberi vaksin, kita akan beralih ke pelancongan 3V," kata Mausoom baru-baru ini kepada CNBC International.

Mausoom turut mengesahkan bahawa sekitar 53 peratus penduduk Maldives telah menerima dos pertama vaksin mereka, termasuk 90 peratus pekerja sektor pelancongan.

Isu bekalan tidak menjadi masalah kerana negara itu turut menerima vaksin yang didermakan oleh China, India dan sedang menanti pesanan tambahan dari Singapura.

Mausoom bagaimanapun tidak menyebut jika vaksin itu akan diberikan secara percuma atau berbayar.