Skip to main content

Dunia

Perdagangan global ubah laluan ke Tanjung Harapan, trafik Selat Hormuz menjunam 90 peratus

Smoke rises following an explosion, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 6, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Hanya empat kapal melalui Selat Hormuz pada 3 Mac lepas, mencatatkan penurunan 90 peratus berbanding purata tujuh hari sebelumnya. - Gambar fail/Reuters

LONDON: Trafik perkapalan komersial melalui Selat Hormuz merosot 90 peratus susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, sekali gus memaksa perdagangan maritim global mengubah laluan ke Tanjung Harapan, yang terletak di hujung selatan Cape Peninsula, kira-kira 50 kilometer ke selatan Cape Town, Afrika Selatan.

Selepas Tehran menutup laluan air penting bagi tenaga dan minyak itu sebagai tindak balas terhadap serangan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran, Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) menaikkan tahap risiko keselamatan di koridor pengangkutan itu kepada kritikal, sekali gus mendorong syarikat insurans membatalkan serta-merta polisi perlindungan perang bagi kapal-kapal di rantau berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

Advertisement

Hanya empat kapal melalui selat itu pada 3 Mac lepas, mencatatkan penurunan 90 peratus berbanding purata tujuh hari sebelumnya, menurut data penjejakan masa nyata daripada Windward.

Selat itu secara sejarahnya mengendalikan purata 138 buah kapal sehari.

Trafik kapal tangki minyak turut mencatatkan kemerosotan serupa sebanyak 90 peratus berbanding tahap sebelum serangan, menurut data MarineTraffic.

Sementara itu, trafik kapal di Tanjung Harapan mencatatkan 94 kapal pada 3 Mac, meningkat 35 peratus berbanding purata tujuh hari laluan berkenaan.

Syarikat perkapalan utama seperti Hapag-Lloyd, CMA CGM dan Maersk menggantung semua pelayaran melalui Teluk dan mengubah laluan melalui hujung selatan Afrika, yang menambah antara 10 hingga 20 hari tempoh penghantaran serta meningkatkan kos pengangkutan.

Hapag-Lloyd memaklumkan kepada Anadolu dalam satu kenyataan bahawa armada syarikat itu tidak melalui Laut Merah sejak Dis 2023, dan keputusan itu dilanjutkan susulan situasi semasa di rantau berkenaan serta ancaman berkaitan daripada kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran.

Syarikat perkapalan Perancis, CMA CGM mengumumkan bahawa ia telah mengarahkan semua kapalnya di Teluk dan yang menuju ke rantau itu supaya mendapatkan perlindungan, manakala laluan melalui Terusan Suez digantung sehingga diberitahu kelak.

Maersk turut menggantung pelayaran kapal yang melalui Terusan Suez menerusi Selat Bab el-Mandeb, selain mengubah laluan semua pelayaran dari Asia Barat-India ke Mediterranean dan dari Asia Barat-India ke pantai timur AS melalui Tanjung Harapan.

Selat Hormuz merupakan laluan air yang penting secara strategik yang terletak di pintu masuk Teluk Parsi. Koridor pengangkutan itu menghubungkan pengeluaran minyak dan gas asli cecair (LNG) Asia Barat ke pasaran global melalui Laut Arab dan Lautan Hindi.

Laluan itu mengendalikan penghantaran kira-kira 20 juta tong minyak dan produk petroleum sehari, selain menyumbang sekitar satu pertiga daripada keseluruhan minyak mentah yang diangkut melalui laut.

China sahaja menggunakan 5.3 juta tong minyak mentah yang melalui Selat Hormuz, manakala India menggunakan dua juta tong, Jepun dan Korea Selatan masing-masing 1.7 juta tong, serta negara lain menerima gabungan 4.2 juta tong melalui selat itu, menurut data S&P Global.

Pada masa sama, Arab Saudi merupakan pengeksport terbesar yang menggunakan selat itu dengan 5.1 juta tong minyak mentah dihantar sehari, diikuti Iraq sebanyak 3.3 juta tong, Emiriah Arab Bersatu 2.6 juta tong, Iran 1.7 juta tong, Kuwait satu juta tong, serta pengeluar lain di rantau itu berjumlah satu juta tong.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi merupakan pengeksport utama bagi lima juta tong produk petroleum ditapis yang melalui laluan air itu setiap hari, masing-masing sebanyak 1.26 juta dan 1.04 juta tong sehari.

Kapal tangki minyak mula mengubah laluan ke Pelabuhan Yanbu di pantai barat Arab Saudi, dengan jumlah muatan di pelabuhan itu meningkat kepada 2.44 juta tong sehari setakat Mac ini, jauh melebihi purata harian enam bulan sebanyak 650,000 hingga 940,000 tong, menurut Anadolu.

Kementerian Minyak Iraq menghentikan pengeluaran di kompleks Rumania di Basra pada Selasa berikutan kekangan serius kapal tangki yang menghalang kapal memasuki lembangan Teluk, sekali gus meningkatkan paras minyak mentah di kemudahan simpanan domestik ke tahap maksimum kritikal.

Pelabuhan Basra di Iraq, yang lazimnya mempunyai kapasiti harian 3.5 juta tong, tidak mengendalikan sebarang minyak mentah pada Isnin.

Penganalisis JPMorgan berkata pengeluar minyak utama serantau mungkin terpaksa menutup kemudahan jika gangguan di Selat Hormuz berterusan selama 21 hari.

Tehran secara aktif menyasarkan loji pengeluaran minyak dan gas asli di rantau itu dengan melancarkan serangan dron ke atas kemudahan Saudi Aramco di bandar timur Arab Saudi, Ras Tanura sebagai tindak balas terhadap operasi bersama AS-Israel.

QatarEnergy dilaporkan menghentikan pengeluaran di kemudahan LNG berskala besar di Ras Laffan selepas serangan dron pada Isnin, sekali gus meningkatkan kebimbangan global terhadap penyusutan bekalan pasaran yang teruk.

Ketua analisis jangka pendek LNG di S&P Global, Ross Wyeno berkata kepada Anadolu bahawa bekalan tidak mencukupi untuk menampung ketidakseimbangan besar akibat penghentian pengeluaran di Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.

Beliau berkata Amerika Syarikat mempunyai sumber LNG fleksibel terbesar di dunia, justeru LNG Amerika yang dimuatkan secara bebas akan dihantar ke Asia, dengan harga adalah paling tinggi.

Perkembangan terbaharu mencerminkan keadaan itu apabila sebuah kapal tangki LNG yang pada asalnya menuju ke Eropah dilaporkan menukar haluan pada Rabu susulan kenaikan harga dan kini menuju ke Asia pada Khamis.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video