Mamdani sedia bincang isu kos sara hidup bersama Trump

Mamdani (tengah) berucap pada sidang media di New York, pada Rabu. - Gambar Reuters
NEW YORK: Datuk Bandar New York yang baharu, Zohran Mamdani menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berhubung isu kos sara hidup yang menjadi tumpuan utama kempen beliau.
Mamdani, seorang Muslim-Amerika dan demokrat sosialis berkata, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan pentadbiran Trump demi kepentingan rakyat New York, khususnya dalam menangani krisis inflasi dan harga barangan keperluan yang semakin meningkat.
“Saya masih berminat untuk berbincang dengan Presiden Trump tentang cara kita boleh bekerjasama demi rakyat New York,” katanya dalam sidang media pertamanya selepas memenangi pilihan raya.
“Salah satu caranya ialah dengan menunaikan janji-janji beliau sendiri berkaitan kos sara hidup.”
Mamdani turut menyindir bahawa beliau belum menerima sebarang ucapan tahniah daripada White House.
“Mungkin mereka belum sempat hubungi saya,” katanya berseloroh.
Dalam kempen beliau, Mamdani menekankan isu kos sara hidup sebagai krisis utama yang perlu ditangani, termasuk cadangan untuk menjadikan perkhidmatan bas bandar percuma, membekukan kadar sewa rumah stabil dan menyediakan penjagaan kanak-kanak percuma.
Beliau turut mengkritik Trump kerana gagal menunaikan janji untuk menurunkan harga barangan runcit, malah pernah mencadangkan penggantungan bantuan makanan semasa penutupan kerajaan.
“Pengajaran buat Presiden ialah, tidak cukup sekadar mengenal pasti krisis yang dihadapi rakyat. Kita perlu bertindak untuk menyelesaikannya,” tegas Mamdani.
Mamdani turut memperkenalkan lima wanita yang akan mengetuai pasukan peralihan beliau termasuk tokoh terkenal seperti Lina Khan, bekas Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) di bawah pentadbiran Joe Biden dan Maria Torres-Springer, bekas Timbalan Datuk Bandar New York yang meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan kerjasama pentadbiran Eric Adams bersama Trump.
Langkah ini dilihat sebagai usaha Mamdani untuk menggabungkan idealisme progresif dengan pengalaman pentadbiran bandar yang mantap. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


