DUNIA
Mandat kami persis sebuah negara, lebih daripada sekadar bantuan kemanusiaan - UNRWA

Sekolah yang dioperasikan oleh UNRWA yang menempatkan pelarian Palestin musnah diserang oleh rejim Israel. - Foto REUTERS/Doaa Rouqa
KUALA LUMPUR: Mandat utama Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) adalah untuk menyediakan perkhidmatan asas yang berorientasikan pembangunan.
Ringkasan AI
- UNRWA menyediakan perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan, pengurusan sisa pepejal dan kewangan mikro, mirip fungsi kerajaan, bukan hanya bantuan makanan dan ubat.
- Sekatan sejak Mac 2025 menyukarkan penghantaran bantuan, menyebabkan bekalan perubatan kehabisan stok dan krisis zat makanan yang meragut nyawa kanak-kanak di Gaza.
- Pemindahan paksa rakyat Palestin ke Rafah disifatkan sebagai penciptaan kem tahanan besar-besaran, manakala perobohan di Tebing Barat terus menyebabkan kehilangan tempat tinggal.
“(Perkhidmatan-perkhidmatan ini) Mirip perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan sesebuah negara. Perkhidmatan-perkhidmatan asas ini juga lebih bersifat pembangunan, berbanding bantuan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Boucly, bantuan yang diberikan oleh UNRWA sejak perang 7 Oktober 2023 kepada penduduk Gaza dan Tebing Barat adalah bersifat fasilitasi kepada kerja-kerja kemanusian lain memandangkan agensi itu sudah mempunyai rangkaian yang luas dengan 12,000 kakitangan yang sedia digerakkan.
"Tetapi dengan sekatan yang dikenakan oleh pihak Israel sejak 2 Mac, semakin sukar untuk membawa masuk bantuan bekalan, tetapi kami terus bergerak berdasarkan mandat utama iaitu untuk menyediakan segala bantuan yang kami mampu; penjagaan kesihatan asas, perkhidmatan pendidikan, pengurusan sisa pepejal, dan air bersih,” ujarnya.
Pada pertengahan Julai 2025, UNRWA telah memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, dengan satu daripada setiap sepuluh kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.
Selain itu, beberapa kes kekurangan zat makanan akut yang teruk telah menyebabkan kematian dalam kalangan kanak-kanak.
Keadaan ini bertambah buruk akibat sekatan bantuan kemanusiaan, termasuk susu formula bayi, daripada memasuki Gaza selama lebih empat bulan.
Menurut UNRWA dan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 875 orang telah terkorban dalam beberapa minggu kebelakangan ini ketika cuba mendapatkan makanan.
Kebanyakan kematian berlaku berhampiran pusat pengagihan bantuan swasta yang tidak diselaraskan dengan PBB.
Mangsa yang terselamat, termasuk kanak-kanak, melaporkan bahawa mereka telah ditembak ketika cuba mendapatkan makanan, menggambarkan betapa bahayanya keadaan yang dihadapi oleh orang awam.
Perkhidmatan kesihatan UNRWA juga kritikal apabila lebih separuh daripada bekalan perubatan agensi itu kini telah kehabisan stok, dan tiada bantuan kemanusiaan, termasuk ubat-ubatan penting, telah memasuki Gaza sejak awal Mac 2025.
Selain krisis kemanusiaan, UNRWA turut mengecam rancangan Israel untuk memindahkan secara paksa rakyat Palestin di Gaza ke Rafah, memberi amaran bahawa tindakan sedemikian pada hakikatnya adalah mewujudkan kem tahanan besar-besaran.
Sementara itu, di Tebing Barat, kerja-kerja perobohan telah disambung semula di kawasan seperti Kem Tulkarm, menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami