RIYADH: Dalam era digital yang semakin berkembang maju, teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) telah membuka pintu dalam sektor pendidikan yang lebih adaptif dan personalisasi.

Walaupun kehebatan AI tidak boleh menggantikan guru, namun ia boleh membantu guru dalam menyediakan bahan pengajaran yang lebih cekap dan efisien kepada pelajar.

Menurut Menteri Pendidikan Rwanda, Gaspard Twagirayezu, beliau bersetuju bahawa sektor pendidikan sudah bersedia menerima gelombang AI.

Namun begitu perbincangan diperlukan mengenai cara-cara untuk mengintegrasikan AI ke dalam sistem pendidikan secara berkesan.

"Adakah sektor pendidikan bersedia terhadap AI, jawapan ringkasnya ya tetapi perbincangan panjang terhadap bagaimana kita laksanakan potensi AI tersebut," katanya.

Beliau turut berkata penggunaan AI di dalam sektor pendidikan boleh mengoptimumkan penyampaian kandungan berdasarkan keperluan pelajar secara individu.

Selain itu, bahan pembelajaran yang dihasilkan oleh AI dapat mengurangkan keperluan guru dalam menjalani latihan yang mahal.

"Kami juga berpendapat bahawa AI dapat meningkatkan keupayaan individu pelajar dan kemudian dapat mengoptimumkan kandungan yang pelajar boleh pelajari dengan cara tersebut," jelasnya lagi.

Tambahnya, akses yang sama terhadap kandungan oleh teknologi AI boleh menangani isu ketidakseimbangan dalam pendidikan iaitu jurang pencapaian pelajar antara kawasan bandar dan luar bandar.

"Terdapat jurang yang besar antara pencapaian pelajar sama ada mereka berada di luar bandar atau bandar dan tetapi jika anda berfikir tentang teknologi, akses kepada teknologi ini harus menyediakan kandungan yang sama kepada semua pelajar," katanya.

Katanya juga, kerajaan memainkan peranan penting dalam integrasi teknolgi AI di dalam sektor pendidikan.

"Sistem pendidikan kita adalah sebahagian daripada rancangan keseluruhan kerajaan menerima dan membuat teknologi yang membolehkan transformasi ini bermula bertahun-tahun yang lalu dengan meletakkan dasar yang kondusif untuk teknologi di seluruh negara dan kini liputan internet hampir di seluruh negara," ujarnya.

Perkara ini dikongsikan beliau dalam satu forum yang bertajuk Adakah Sektor pendidikan dah sedia mendepani gelombang AI? anjuran Mesyuarat Khas WEF di Riyadh pada Ahad.