KOHISTAN: Seorang lelaki yang terjatuh dalam sungai di Pakistan berjaya diselamatkan menggunakan helikopter pada Ahad.

Rakaman video menunjukkan anggota tentera menggunakan tali bagi menyelamatkan mangsa yang berpaut pada bongkah batu di Kohistan.

Kawasan berkenaan antara paling teruk terjejas akibat banjir disebabkan hujan lebat ketika musim tengkujuh yang melanda negara itu ketika ini.

Banjir sejak pertengahan Jun lalu telah menjejas lebih 33 juta orang dan meragut lebih 1,000 nyawa.

Pakistan telah merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk tampil membantu negara itu yang ditimpa bencana banjir.

Setakat ini beberapa negara telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara itu termasuk Azerbaijan, Turkiye, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.