Skip to main content

Dunia

Mark Zuckerberg diheret ke mahkamah berhubung kesan media sosial terhadap kanak-kanak dalam perbicaraan bersejarah

Meta Platforms CEO Mark Zuckerberg attends a Los Angeles Superior Court trial in a key test case accusing Meta and Google's YouTube of harming kids' mental health through addictive platforms, in Los Angeles, California, U.S., February 18, 2026 in a courtroom sketch. REUTERS/Mona Edwards NO RESALES. NO ARCHIVES
Mark Zuckerberg menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Los Angeles dalam satu kes penting yang menuduh Meta dan YouTube milik Google menyebabkan kemudaratan terhadap kesihatan mental kanak-kanak melalui platform yang bersifat ketagihan, di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada Rabu seperti digambarkan dalam lakaran mahkamah. - Gambar Reuters

LOS ANGELES: Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg berdepan soal siasat pada Rabu mengenai dakwaan syarikatnya secara sengaja mereka bentuk Instagram supaya bersifat ketagihan, ketika beliau berada di hadapan seorang wanita muda yang menuduh Meta dan YouTube “memancing” dirinya sejak kecil dan merosakkan kesihatan mentalnya.

Zuckerberg, yang buat pertama kali memberi keterangan di hadapan juri berhubung dakwaan lama tentang impak media sosial terhadap kesihatan mental kanak-kanak, berkata, beliau percaya dirinya telah “mengendalikan keselamatan pengguna muda dengan cara yang munasabah.”

Advertisement

Namun, sekumpulan ibu bapa yang datang dari seluruh negara untuk mengikuti perbicaraan itu memberikan gambaran berbeza di luar mahkamah Los Angeles, dengan menuduh syarikat berkenaan “memangsa dan mengeksploitasi” anak-anak mereka demi keuntungan.

Keputusan kes ini — yang melibatkan seorang wanita muda, Kaley, yang mendakwa Meta dan YouTube mereka bentuk ciri ketagihan bagi mempengaruhinya sejak kecil — boleh menjadi penanda aras kepada ratusan kes lain. 

Jika syarikat-syarikat itu kalah, mereka boleh berdepan kerugian berbilion dolar serta dipaksa mengubah platform yang telah membentuk cara hidup ramai pengguna.

Zuckerberg dan Kaley

Sebelum perbicaraan bermula, sekumpulan ibu bapa yang mendakwa anak mereka terkesan berkumpul sambil berpegangan tangan di luar mahkamah menunggu ketibaan Zuckerberg.

Zuckerberg memasuki bangunan Mahkamah Tinggi Los Angeles sekitar jam 8:30 pagi waktu tempatan melalui pintu hadapan, diiringi kumpulan wartawan, ibu bapa dan juri yang menunggu untuk masuk. 

Beliau tidak menjawab pertanyaan mengenai mesejnya kepada ibu bapa yang mendakwa anak mereka telah disakiti oleh media sosial.

Kaley turut berada di ruang mahkamah yang sesak untuk mendengar keterangannya.

Peguamnya, Mark Lanier sebelum ini berkata, Kaley tidak akan hadir untuk sebahagian besar prosiding kerana mengalami keresahan sosial dan sukar berada dalam tempat sesak, tetapi dijangka memberi keterangan kemudian.

Pada satu ketika dalam perbicaraan, Lanier merujuk kepada kenyataan Zuckerberg pada sidang Kongres 2024 bahawa “tiada bukti saintifik kukuh” yang menunjukkan media sosial menyebabkan kemerosotan kesihatan mental remaja.

“Kami mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk pengkaji kesejahteraan,” kata Zuckerberg. 

“Saya mengambil kira semua maklumat itu dan saya fikir saya mengendalikannya secara munasabah.”

Di luar mahkamah, seorang ibu, Julianna Arnold, menyifatkan pengalaman melihat Zuckerberg memberi keterangan sebagai “tidak nyata” setelah bertahun mendesak syarikat itu membuat perubahan. 

Arnold mendakwa, kematian anak perempuannya yang berusia 17 tahun, Coco, berpunca daripada Instagram.

“Niat syarikat ialah menjadikan remaja sebagai mangsa… mengeksploitasi mereka untuk keuntungan,” katanya. “Ia dilakukan dengan sengaja, bukan secara kebetulan.”

Dasar umur Instagram dipersoal

Zuckerberg ditekan mengenai akses kanak-kanak bawah 13 tahun ke Instagram.

Aplikasi itu mensyaratkan pengguna berumur 13 tahun ke atas, dan Zuckerberg menegaskan kanak-kanak bawah umur “tidak dibenarkan di Instagram.”

Namun, Lanier menunjukkan satu dokumen dalaman 2015 yang menganggarkan lebih empat juta pengguna Instagram adalah bawah umur 13 tahun - iaitu kira-kira 30 peratus daripada semua kanak-kanak 10 hingga 12 tahun di Amerika Syarikat.

Lanier juga mendakwa, Kaley mula menggunakan Instagram pada usia 9 tahun

Dalam masa sama, dakwa Lanier, hanya pada Disember 2019 Instagram mula mewajibkan pengguna baru memasukkan tarikh lahir. 

Sebelum itu, mereka hanya perlu mengesahkan bahawa mereka berusia lebih 13 tahun. 

Pada Ogos 2021, Instagram mula meminta pengguna sedia ada memberikan tarikh lahir sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan.

Ini bermaksud Kaley tidak pernah diminta memberikan umur ketika mula menyertai platform itu.

Zuckerberg mengakui bahawa sebelum peraturan tarikh lahir diwajibkan, terdapat “kebimbangan mengenai privasi,” namun percaya dasar baharu itu adalah tepat.

Lanier mendakwa, Kaley menggunakan Instagram “berjam-jam setiap hari,” malah pernah menghabiskan lebih 16 jam sehari di aplikasi itu meskipun ibunya cuba mengehadkannya. 

Kaley mendakwa, ciri-ciri ketagihan aplikasi itu mendorongnya mengalami keresahan, gangguan imej tubuh dan pemikiran untuk membunuh diri, serta menjadi sasaran buli dan pemerasan seksual.

Meta menegaskan, mereka “sangat tidak bersetuju” dengan dakwaan itu dan yakin bukti akan menunjukkan komitmen syarikat menyokong pengguna muda. 

Peguam Meta berhujah bahawa masalah mental Kaley berpunca daripada latar belakang keluarga yang sukar, bukan media sosial. 

YouTube turut menafikan dakwaan dalam saman tersebut.

Seorang jurucakap Meta berkata kepada juri bahawa persoalan utama ialah sama ada Instagram merupakan faktor signifikan dalam masalah mental Kaley, sambil menambah bahawa “bukti menunjukkan beliau berdepan pelbagai cabaran sebelum menggunakan media sosial.”

Meta juga merujuk kepada ciri keselamatan seperti alat kawalan ibu bapa dan “akaun remaja,” yang menetapkan tetapan privasi dan sekatan kandungan automatik untuk pengguna bawah 18 tahun.

Lanier kemudian bertanya sama ada syarikat patut “memangsa” individu yang datang daripada latar belakang sukar atau kurang bernasib baik.

“Saya fikir syarikat yang bertanggungjawab perlu cuba membantu pengguna mereka,” jawab Zuckerberg.

‘Kegunaan dan nilai’, bukan hanya masa skrin

Pertikaman lidah berlaku apabila Lanier mempersoalkan sama ada Meta meletakkan sasaran untuk memaksimumkan masa pengguna di aplikasi. 

Zuckerberg berkata, sasaran itu wujud “pada peringkat awal syarikat” tetapi kini Meta beralih kepada metrik “kegunaan dan nilai.”

Beliau turut menyentuh isu beauty filters. 

Menurut Zuckerberg, Instagram membenarkan filter ciptaan pengguna atas alasan kebebasan bersuara tetapi tidak mencipta atau mempromosikannya sendiri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan “pakar kebebasan bersuara,” namun mengakui tidak mengenali atau pernah berjumpa mereka secara langsung.

Keuntungan mengatasi keselamatan?

Menurut Kimberly Pallen, pakar undang-undang litigasi kompleks, Zuckerberg perlu menunjukkan kepada juri bahawa Meta sedang melakukan yang terbaik dalam melindungi pengguna muda. 

“Pada akhirnya, persoalannya ialah: adakah mereka melakukan secukupnya, dan adakah mereka benar-benar peduli?”

Beliau berkata, persepsi juri terhadap Zuckerberg juga boleh mempengaruhi keputusan kerana “kes ini banyak bergantung pada bagaimana saksi tampil dan apa yang didedahkan dalam dokumen.”

Zuckerberg turut dijangka ditanya seperti Ketua Instagram, Adam Mosseri minggu lalu sama ada beliau pernah mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan remaja, sebagaimana yang didakwa Kaley.

Dalam keterangannya, Zuckerberg menyebut pemilikan majoriti saham Meta membolehkan lebih banyak pelaburan disalurkan kepada sains dan penyelidikan, sambil mengulangi komitmennya untuk menyumbangkan 99 peratus daripada kekayaannya.

Namun apabila Lanier bertanya sama ada beliau akan “berikrar memberikan dana kepada mangsa media sosial,” Zuckerberg menjawab: “Saya tidak bersetuju dengan penyataan soalan itu.” - Agensi

Must Watch Video