KUALA LUMPUR: Di sebalik nama besarnya dalam dunia kesusasteraan Filipina, mendiang Marra PL. Lanot mempunyai hubungan tersendiri dengan Malaysia, termasuk persahabatan dengan Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan.
Perkara itu dikongsikan pengendali The Tiger Show Podcast, Amin Iskandar yang pernah mengenali secara peribadi penyair, penulis esei dan wartawan Filipina berkenaan ketika melakukan penyelidikan di negara itu pada 2009.
Menurut Amin, Marra pernah bercerita kepadanya mengenai persahabatannya dengan Anwar dan kunjungannya ke Kuala Lumpur bagi menghadiri program yang dianjurkan sasterawan berkenaan.
“Dia pernah bercerita di Malaysia, kawannya adalah Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan dan pernah ke Kuala Lumpur untuk menghadiri program anjurannya.
“Dia tidak terlalu asing dengan sastera Malaysia selain Bahasa Melayu dan Tagalog banyak berkongsi perkataan sama. Contohnya, ‘anak’,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Amin mula mengenali keluarga Lanot menerusi anaknya, Kris Lanot Lacaba ketika menjalani latihan industri di Korea Selatan pada 2006.
Tiga tahun kemudian, ketika melakukan kajian mengenai era pemerintahan Presiden Ferdinand Marcos di Filipina menerusi program Asian Public Intellectuals (API) tajaan The Nippon Foundation, beliau diundang Kris untuk menetap di kediaman keluarganya di Quezon City.
Di situlah Amin mengenali Marra dan suaminya, penulis skrip serta wartawan terkenal Filipina, Jose “Pete” Lacaba.
Menurut Amin, pengalaman hidup Marra tidak dapat dipisahkan daripada pergolakan politik Filipina, khususnya ketika suaminya dipenjarakan semasa pemerintahan Marcos.
“Marra seorang yang cekal hatinya dan menyuarakan pandangannya melalui cerpen dan puisi sehingga memenangi anugerah,” katanya.
Beliau berkata, Marra juga memperjuangkan emansipasi wanita, namun dalam masa sama membesarkan anaknya ketika keluarga mereka berdepan kesukaran susulan pemenjaraan suaminya.
Marra meninggal dunia pada Ahad pada usia 82 tahun selepas menjalani rawatan di hospital untuk tempoh yang panjang.
Memetik Rappler, keluarganya tidak mendedahkan punca kematian.
Tokoh kesusasteraan itu terkenal dengan karya dalam tiga bahasa iaitu Filipino, Inggeris dan Sepanyol selain membina kerjaya sebagai penyair, penulis esei dan wartawan bebas.
Karya pertamanya, Sheaves of Things Burning, meraih tempat kedua kategori puisi pada Anugerah Carlos Palanca pada 1967, manakala Deja Vu In America: Or, One of the Songs memenangi tempat pertama kategori esei pada 1980.
Sumbangannya turut diiktiraf menerusi Catholic Mass Media Award dan Gawad Pambansang Alagad ni Balagtas pada 2020 atas sumbangannya dalam puisi dan esei bahasa Inggeris.
Graduan University of the Philippines Diliman itu turut mengajar kesusasteraan, penulisan kreatif dan filem, selain pernah berkhidmat di Cultural Center of the Philippines serta Movie and Television Rating and Classification Board.
Marra meninggalkan suaminya, seorang anak, Kris, tiga cucu serta dua adik-beradik.