Skip to main content

Malaysia

Keputusan tender sistem bayaran terbuka Prasarana dimuktamad hujung tahun ini - Loke 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Keputusan perolehan dan penilaian sistem pembayaran terbuka Prasarana dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini selepas penilaian teknikal dan komersial.
  • Sistem ini akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan rangkaian rel Rapid KL dan bas Rapid Bus di Lembah Klang serta Pulau Pinang.
  • Kelewatan pelaksanaan berpunca daripada proses tender semula yang dikendalikan sepenuhnya oleh Prasarana tanpa campur tangan Kementerian Pengangkutan.

KUALA LUMPUR: Keputusan proses perolehan dan penilaian bagi pelaksanaan sistem pembayaran terbuka perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad, dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu, kini berada pada peringkat akhir penilaian teknikal dan komersial sebelum penganugerahan kontrak dibuat.

Beliau berkata pelaksanaan sistem tersebut, yang membolehkan orang ramai menggunakan pelbagai kaedah transaksi termasuk kad perbankan dan dompet digital, akan dijalankan secara berfasa melibatkan rangkaian rel Rapid KL dan bas henti-henti Rapid Bus di Lembah Klang serta Pulau Pinang.

“(Bagi) perkhidmatan rel Rapid KL, sebanyak 30 peratus daripada peralatan akses penumpang dan kutipan tambang di setiap stesen, dijangka menyokong pembayaran terbuka dalam tempoh 12 bulan pertama selepas tarikh mula projek, manakala pelaksanaan penuh meliputi keseluruhan rangkaian rel disasarkan selesai dalam tempoh 30 bulan.

“Manakala bagi perkhidmatan Rapid Bus Lembah Klang, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dijangka disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 15 bulan selepas tarikh mula projek,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta penjelasan mengenai jadual pelaksanaan penuh sistem pembayaran terbuka, bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Menjawab soalan tambahan Zahir berhubung punca kelewatan garis masa asal yang disasarkan sebelum ini, Loke menjelaskan proses perolehan berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh Prasarana tanpa campur tangan kementerian.

“Dari segi kelewatan, ia kerana tender pertama itu tidak dianugerahkan. Jadi ada proses retender, itu mengambil masa. Mungkin ada isu-isu dalaman yang Kementerian Pengangkutan tidak terlibat dan tidak mencampuri urusan tender dalam Prasarana.

“Jadi Prasarana ada kebebasan dari segi proses membuat tender dan perolehan ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak Prasarana juga,” katanya dan menambah sistem pembayaran terbuka yang bakal disokong Prasarana merangkumi kad MyDebit, kad kredit dan debit antarabangsa.

Selain itu, ia juga bakal disokong pembayaran tanpa sentuh menggunakan peranti NFC, dompet digital dan platform e-dompet yang diluluskan, kod QR serta kad Touch & Go dan medium pembayaran lain yang diluluskan pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement