BARCELONA : Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) yang mewakili kerajaan Malaysia bagi meninjau potensi kerjasama untuk memajukan ekonomi digital, menamatkan misi yang membuahkan hasil di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2023 di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata agensi berkenaan menyertai wacana dan rundingan dua hala dengan beberapa peserta industri global terkemuka yang menunjukkan minat untuk melabur di negara ini.

"Ideanya ialah untuk meninjau syarikat berpotensi untuk kita dapat bekerjasama dan akhirnya datang ke Malaysia dan melabur dalam beberapa bidang berasaskan teknologi telekomunikasi dan digital.

"Satu aspek yang banyak kami laburkan dan giat memburu kerjasama ialah aplikasi 5G yang boleh memanfaatkan infrastruktur 5G, yang sedang berkembang pesat di Malaysia," katanya kepada Bernama di luar acara MWC 2023 di sini.

Pada 27 Februari, MDEC memeterai memorandum persefahaman dengan Groupe Speciale Mobile Association (GSMA) untuk mendorong pembangunan aplikasi 5G yang memanfaatkan kes penggunaan serta kesalinghubungan ekosistem digital di Malaysia.

Mahadhir berkata selain GSMA, MDEC telah bergiat aktif dalam perbincangan melalui rakan strategiknya, terutamanya daripada Dewan Perniagaan Sepanyol Malaysia, La Camara.

"Kami melihat syarikat Sepanyol yang berkembang daripada ekosistem teknologi Barcelona yang boleh dipindahkan ke Malaysia dari segi penyelesaian teknologi di antara kedua-dua negara," katanya.

Menurut Mahadhir, MDEC turut mengadakan libat urus dengan lebih 20 syarikat teknologi dari Sepanyol dan Kanada menerusi perbincangan meja bulat untuk meninjau kerjasama seterusnya dalam bidang kemajuan teknologi.

"Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan Meta dan Facebook, Google, dan Ericsson iaitu antara peserta utama di MWC 2023, yang berhasrat mengembangkan pelaburan mereka terhadap bidang khusus dalam ekonomi digital.

"Ideanya ialah untuk kami mencari keterangkuman digital, membawa kerjasama banyak ekosistem yang bersesuaian bersama-sama ke Malaysia," kata Mahadhir.

-- BERNAMA