INTERNATIONAL
Media, badan pemikir ASEAN dan China perlu kukuhkan lagi hubungan rakyat - Fadillah

Fadillah berucap ketika majlis perasmian Forum Media dan Badan Pemikir ASEAN-China anjuran bersama agensi Xinhua dan Bernama di ibu negara. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Dengan cabaran yang sedang melanda persekitaran global, ini adalah masa yang tepat untuk China dan ASEAN mengukuhkan lagi hubungan rakyat ke rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerjasama yang terjalin antara dua pihak, bukan transaksi semata-mata, tetapi dibina atas asas kepercayaan, pertalian budaya, dan aspirasi yang dikongsi bersama.
Justeru beliau berkata, perbincangan dalam Forum Media dan Badan Pemikir ASEAN-China yang berlangsung pada Jumaat, harus tertumpu kepada tiga tunjang utama iaitu Mempromosi Pertukaran Budaya; Menggalakkan Kerjasama Laluan Sutera; dan Memanfaatkan Revolusi Kecerdasan Buatan (AI).
“Kita mesti mengharungi cabaran dengan kebijaksanaan. Langkah-langkah perdagangan global terkini, termasuk tarif baharu (Amerika Syarikat), menekankan keperluan untuk perkongsian ekonomi yang berdaya tahan.“Sebagai Pengerusi ASEAN untuk tahun 2025, Malaysia komited untuk memajukan pendekatan kerjasama – yang mempromosikan kestabilan, pasaran yang adil dan terbuka, serta nilai-nilai bersama,” katanya lagi.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), berkata demikian ketika merasmikan Forum Media dan Badan Pemikir ASEAN-China anjuran bersama agensi Xinhua dan Bernama di ibu negara.
Kementerian Komunikasi dalam siaran media susulan berkata, forum bertema "Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China" itu, berfungsi sebagai platform strategik untuk media dan kumpulan pemikir mengkaji peluang untuk penglibatan serantau yang lebih kukuh.
Ia seiring dengan teras kesejahteraan dalam Malaysia MADANI bagi memupuk budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan.
Selain itu, Kementerian berkata, forum tersebut menghimpunkan kira-kira 250 wakil daripada lebih 160 organisasi media, pemikir, agensi kerajaan, dan syarikat dari negara-negara ASEAN dan China.
Sementara itu Fadillah dalam ucapannya berkata, memasuki era yang kompleks, media dan badan pemikir memainkan peranan penting dalam merapatkan perspektif, memaklumkan dasar, dan mempromosikan keharmonian serantau.
“Oleh itu, forum ini berfungsi sebagai platform penting untuk memperkuat suara ASEAN di peringkat global, menyokong kestabilan serantau, dan mengembangkan kerjasama maritim di bawah Jalan Sutera Maritim abad ke-21, yang merupakan sebahagian penting daripada Inisiatif Belt and Road,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami