SEMPENA ulang tahun ke-20 tragedi serangan 9/11, rakyat Amerika Syarikat turun ke Manhattan, New York pada Sabtu bagi menyampaikan rasa bersyukur dan mengenang mereka yang terkorban.

Mereka terdiri daripada waris, saksi kejadian serta individu yang terlibat secara langsung dalam usaha penyelamatan ketika kejadian 11 Sept 2001 itu.

Mereka membawa jambangan bunga dan mengikat riben dengan ucapan penghormatan.

Salah seorang pelawat, Andrew Sudol, yang terlibat secara langsung membantu mencari mangsa yang terselamat ketika runtuhan akibat rempuhan pesawat itu berkata, dia sering mendoakan mereka.

"Saya berdoa untuk mereka yang terkorban ini setiap hari. Saya harap saya dapat membantu mereka. Namun terdapat kesukarannya, dan yang pasti hidup perlu diteruskan," katanya.

Seorang lagi saksi tragedi menyatakan sangat bersyukur atas jasa pengorbanan mereka yang membantu dalam menyelamatkan mangsa-mangsa.

"Saya perlu akui, saya masih beremosi untuk tempoh yang lama. Saya tidak tahu bagaimana perasaan ini akan hilang dan saya akan terus mengenang dan memberi penghormatan," kata Laura Burress.

Sambutan 20 tahun mengenang tragedi 9/11 turut berlangsung di London, United Kingdom, di mana orang ramai memberi penghormatan buat mangsa terkorban di Olympic Park.

"Pada masa itu, saya lihat kapal terbang itu merempuh dua bangunan itu, dan bangunan itu musnah. Saya sedar ketika itu, kehidupan saya dan dunia telah berubah untuk selama-lamanya," kata Jon Egan, salah seorang anak mangsa tragedi tersebut.

67 rakyat British dilaporkan antara 3,000 orang yang terkorban selepas kapal terbang merempuh World Trade Centre di New York dan Pentagon di Washington pada 2001.

Penghormatan itu adalah salah satu daripada peristiwa peringatan yang diadakan di seluruh dunia.

Ia disambut selepas beberapa minggu pengunduran Amerika Syarikat dari Afghanistan.