DUNIA
Menteri Luar Belanda letak jawatan selepas Kabinet tolak sekatan tambahan terhadap Israel

Veldkamp berdepan tentangan berterusan daripada rakan-rakan Kabinet berhubung cadangan sekatan baharu termasuk larangan kemasukan terhadap dua menteri sayap kanan Israel yang didakwa mencetuskan keganasan. - Gambar fail AP
THE HAGUE: Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp meletakkan jawatan selepas gagal mendapatkan sokongan Kabinet untuk melaksanakan sekatan tambahan terhadap Israel berhubung serangan ketenteraan di Gaza.
Veldkamp daripada parti New Social Contract berkata, beliau berdepan tentangan berterusan daripada rakan-rakan Kabinet berhubung cadangan sekatan baharu termasuk larangan kemasukan terhadap dua menteri sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich dan Itamar Ben-Gvir yang didakwa mencetuskan keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin.
Selain itu, Veldkamp turut membatalkan tiga permit eksport komponen kapal tentera laut dengan memberi amaran mengenai “keadaan yang semakin meruncing di Gaza” serta risiko penyalahgunaan ketenteraan.
“Saya juga melihat sendiri apa yang berlaku di Gaza – serangan ke atas Gaza City, keputusan pembinaan penempatan baharu di kawasan pertikaian E1 di Tebing Barat, serta di Baitulmaqdis Timur,” katanya kepada pemberita.Peletakan jawatannya sekali gus meninggalkan Belanda tanpa Menteri Luar ketika Kesatuan Eropah (EU) sedang meneliti jaminan keselamatan untuk Ukraine dan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat berhubung isu tarif.
Susulan pengumuman itu, semua menteri dan Setiausaha Negara daripada parti New Social Contract turut meletakkan jawatan daripada kerajaan sementara sebagai tanda solidariti terhadap Veldkamp.
Kerajaan Belanda tumbang pada 3 Jun lalu dan pemerintah minoriti sementara dijangka kekal berkuasa sehingga pemerintah gabungan dibentuk selepas pilihan raya pada Oktober, yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan.
Sementara Israel pula melancarkan serangan ketenteraan yang bertujuan untuk menawan kawalan Gaza City, memindahkan orang awam ke selatan, melemahkan Hamas dan mewujudkan tekanan bagi pembebasan tebusan. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami