Menteri UK mohon maaf kepada pesakit ketika doktor mulakan mogok lima hari

Doktor residen memegang kain rentang sambil berkumpul bagi memulakan mogok lima hari, berhampiran Hospital St Thomas di London, England, 17 Dis 2025. (Foto AP)
LONDON: Setiausaha Kesihatan Britain Wes Streeting memohon maaf kepada pesakit apabila doktor memulakan mogok selama lima hari di England berhubung pertikaian berterusan mengenai pekerjaan dan gaji, lapor PA Media/dpa.
Ringkasan AI
- Setiausaha Kesihatan Britain memohon maaf kepada pesakit atas mogok lima hari doktor residen di England berhubung pertikaian gaji, namun memberi amaran tentang gangguan terhadap Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
- Kerajaan UK melakukan rundingan dengan Persatuan Perubatan Britain (BMA) untuk elak mogok, tetapi gagal mencapai persetujuan, menyebabkan hospital berdepan dengan kesulitan menghadapi peningkatan kes selesema dan penyakit musim sejuk.
- Mogok doktor residen yang bermula pada Rabu adalah mogok ke-14 sejak 2023, menyebabkan pembatalan ribuan janji temu pesakit setiap hari, meningkatkan kebimbangan kesihatan masyarakat dan menimbulkan kesan serius terhadap penyampaian rawatan.
Hospital kini berdepan peningkatan kes selesema dan penyakit musim sejuk lain.
Bercakap kepada media penyiaran Streeting berkata: "Kami melakukan segala yang kami mampu untuk mengelakkan mogok ini dan menghentikan tindakan mogok daripada berlaku.
"Apabila kami membentuk kerajaan, kami mengiktiraf apa yang disuarakan oleh doktor pelatih mengenai gaji dan itulah sebabnya mereka menerima kenaikan gaji sebanyak 28.9 peratus daripada kerajaan ini.
"Sudah tentu, kami bersedia untuk berbincang mengenai apa yang akan kami lakukan pada tahun-tahun mendatang.
"Saya fikir orang ramai dapat melihat yang saya berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan mogok ini pada masa yang paling buruk bagi NHS.
"Saya benar-benar memohon maaf atas gangguan yang dialami oleh pesakit."
Beliau berkata kerajaan bertemu wakil BMA pada Selasa untuk melihat sama ada, "walaupun pada saat-saat akhir", kami berharap agar mogok itu dielakkan, namun berkata: "Selepas perbincangan yang konstruktif, kami masih tidak dapat memujuk BMA sama ada untuk memasuki rundingan atau menangguhkan mogok sehingga Januari."
Selepas bertemu pemimpin kesihatan pada pagi Rabu, Streeting berkata: "Tumpuan sepenuhnya kami kini adalah untuk memastikan keselamatan pesakit, khususnya sepanjang lima hari tindakan mogok ini dan juga sepanjang tempoh kemuncak bagi NHS.
"Kami melakukan segala yang termampu untuk meminimumkan gangguan. Namun, gangguan tetap akan berlaku."
Beliau berkata pesakit yang memerlukan rawatan kesihatan harus tampil seperti biasa.
Pengawai tertinggi hospital menggesa doktor residen dan kerajaan agar memulakan rundingan dengan pengantara luar, dengan menyatakan pertikaian itu menemui "jalan buntu".
Daniel Elkeles, Ketua Eksekutif NHS Providers berkata kepada Times Radio: "Apa yang amat mengecewakan ialah mogok ini dirasakan tidak semakin hampir kepada penyelesaian, malah menjadi semakin tegang.
"Kami menemukan jalan buntu dan agak sukar dipercayai bahawa kerajaan, yang mengemukakan tawaran yang begitu baik minggu lepas, menerima keputusan hasil undian tegas daripada doktor yang berkata, 'Kami tidak bersetuju.'"
"Rasanya kita perlu melakukan sesuatu untuk meleraikan kebuntuan ini dan jika pengantaraan luar adalah jalan penyelesaiannya, mari kita lakukannya.
"Kerana terdapat satu tempoh singkat selepas mogok ini iaitu sebelum pengundian semula doktor pelatih dan mereka boleh diyakinkan yang pengundian semula tidak diperlukan sekiranya kita berjaya mencapai persetujuan."
Perkhidmatan perdamaian Acas berkata ia "bersedia sepenuhnya dan sedia membantu menangani pertikaian itu".
Pengarah penyelesaian pertikaian Acas Kevin Rowan berkata: "ACAS sedang berhubung dengan semua pihak yang terlibat dalam pertikaian doktor residen.
"Mereka sedar akan nilai bantuan pihak ketiga dan bahawa kami mempunyai pasukan pakar yang bersedia sepenuhnya untuk membantu."
Beliau berkata perkhidmatan itu bersifat sukarela, bermakna ia "hanya boleh mengadakan rundingan perdamaian rasmi apabila semua pihak yang terlibat bersetuju yang masa adalah sesuai".
BMA membenarkan sebahagian doktor meninggalkan barisan piket dan kembali bertugas di unit bersalin Hospital Universiti Nottingham NHS Foundation Trust berikutan "keadaan yang unik dan sukar".
Hospital diarahkan untuk menyasarkan penyampaian 95 peratus daripada aktiviti biasa sepanjang mogok, namun pemimpin kesihatan mengakui perkara ini mungkin "lebih mencabar berikutan tekanan musim sejuk dan peningkatan kes selesema".
Dr Jack Fletcher, Pengerusi Jawatankuasa Doktor Pelatih BMA berkata "Sudah lama menteri mengemukakan pelan jangka panjang yang benar-benar menyeluruh. Jika mereka dapat menyediakan laluan yang jelas untuk menaikkan gaji secara bertanggungjawab dalam tempoh beberapa tahun, serta menyediakan pekerjaan baharu yang mencukupi dan bukannya sekadar mengitar semula jawatan sedia ada, mogok sepanjang baki tempoh kerajaan ini tidak akan berlaku."
Mogok lima hari itu, yang bermula pada 7 pagi (0700 GMT) Rabu adalah mogok ke-14 oleh doktor residen sejak 2023.
Setiausaha Kesihatan bayangan Stuart Andrew berkata beliau menerima maklum balas daripada seorang pesakit yang "bimbang akan nyawanya" akibat mogok itu.
Bercakap kepada Sky News beliau menyifatkan mogok itu adalah "sangat tidak bertanggungjawab" ketika kes selesema meningkat.
Beliau berkata: "Kami menjangkakan kira-kira 9,000 janji temu sehari dibatalkan dan ini membawa kesan sebenar kepada kehidupan.
"Ini melibatkan individu sebenar yang menunggu rawatan yang telah lama mereka lalui. Kami menerima mesej dari seluruh negara.
"Seorang wanita menghubungi untuk menyatakan yang rawatan kansernya tidak akan dapat diteruskan sepanjang lima hari ini, dan menurutnya: 'Saya bimbang akan nyawa saya'.
"Itulah perkara yang benar-benar membimbangkan saya."
--BERNAMA-PA MEDIA/dpa
TAG: UK, doktor residen, mogok, perkhidmatan kesihatan, gangguan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


