DUNIA
MER-C: Klinik Al Aqsa B rawat 1,200 pesakit di Gaza setiap hari

Klinik ini menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran walaupun beroperasi dengan sumber terhad. -Foto Bernama
JAKARTA: Di tengah-tengah pengeboman berterusan dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, sebuah klinik medan di Khan Younis menjadi talian hayat penting dengan merawat kira-kira 1,200 pesakit setiap hari, menurut Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C).
Ringkasan AI
- Klinik medan Al Aqsa B di Khan Younis, Gaza, merawat kira-kira 1,200 pesakit setiap hari dan menjadi pusat penting bagi lebih 400,000 pelarian yang terjejas akibat serangan dan sekatan Israel.
- Klinik ini menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran walaupun beroperasi dengan sumber terhad, dengan sokongan penuh daripada MER-C dan Kementerian Kesihatan Palestin.
- MER-C terus komited meningkatkan kapasiti klinik dan menjaga kebajikan petugas kesihatan dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
"Walaupun dengan sumber yang terhad, pasukan perubatan terus berkhidmat di barisan hadapan bantuan kemanusiaan di selatan Gaza," menurut kumpulan kemanusiaan Indonesia itu dalam satu kenyataan.
Sokongan MER-C bermula pada 1 Dis 2024 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Palestin dan sejak itu klinik berkenaan telah meningkatkan kapasiti serta merawat lebih 105,890 pesakit.
"Dalam enam bulan pertamanya dari Disember 2024 hingga Mei 2025, klinik ini beroperasi dengan 38 kakitangan perubatan dan sokongan, sebelum meningkat kepada 50 orang pada Jun 2025 sebagai respons kepada permintaan yang semakin meningkat," menurut MER-C.
Kumpulan itu juga menyediakan insentif penuh kepada semua kakitangan serta membekalkan peralatan kawalan jangkitan, bahan pejabat dan waktu rehat untuk menyokong moral dan kebajikan kepada petugas kesihatan dalam keadaan mencabar.
MER-C komited untuk meneruskan sokongan kepada klinik itu bagi meningkatkan kapasitinya dan menambah baik perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Gaza yang terjejas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami