DUBAI: Mesir menuduh Israel menghalang penghantaran bantuan untuk Semenanjung Gaza dan menyifatkannya sebagai taktik tekanan rejim Zionis itu.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, halangan Israel itu dijadikan sebagai alat tekanan berhubung konflik dan pembebasan tebusan.

Kenyataan Abdel Fattah itu merupakan penggeseran terbaharu antara kedua-dua negara yang mengekalkan sekatan ke atas kawasan Gaza.

Jumlah bantuan yang terhad telah disampaikan melalui persimpangan Rafah antara Mesir dan Gaza serta sejak Disember, melalui persimpangan Kerem Shalom yang dikawal oleh Israel.

Abdel Fattah menambah, Mesir pernah menghantar 600 trak sehari ke Gaza namun sejak dua hingga tiga hari lalu, pihaknya hanya dapat menghantar bawah 200 trak setiap hari.

Jelasnya, Lintasan Rafah Mesir dibuka 24 jam setiap hari dan setiap bulan.

Tetapi prosedur yang berlaku di pihak Israel telah menyebabkan penghantaran trak bantuan menjadi perlahan.

Data daripada agensi PBB UNRWA menunjukkan kurang daripada 200 trak memasuki Gaza setiap hari sejak 24 Januari.

Israel melancarkan perang udara dan darat di Gaza menyebabkan lebih 25,000 rakyat Palestin maut.
Ia turut menyebabkan krisis kemanusiaan yang teruk dengan kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api.

Lebih 1.2 juta orang bersesak-sesak di selatan Gaza di dalam dan sekitar bandar Rafah, menimbulkan kebimbangan di Mesir bahawa rakyat Palestin akan dipindahkan merentasi sempadan ke Semenanjung Sinai.

Mesir bersama-sama dengan Qatar, telah berunding dengan Israel dan Hamas untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza. - Agensi