Mesir hantar bekalan bantuan musim sejuk ke Gaza yang dilanda hujan lebat

Hujan lebat kebelakangan ini membadai Gaza dan merosakkan banyak khemah perlindungan yang rapuh, sekali gus menambah penderitaan penduduknya. - AP
KAHERAH/GAZA: Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) pada Khamis menghantar satu lagi penghantaran bekalan bantuan musim sejuk ke Semenanjung Gaza yang dilanda hujan lebat, termasuk 14,300 selimut, 21,400 pakaian musim sejuk serta 15,800 khemah bagi menempatkan keluarga yang terjejas, menurut organisasi itu dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.
Bantuan musim sejuk itu merupakan sebahagian daripada konvoi bantuan kemanusiaan yang lebih besar membawa kira-kira 9,800 tan bahan keperluan mendesak, termasuk sekitar 5,500 tan bakul makanan, lebih 3,600 tan barangan perubatan dan bantuan, serta lebih 700 tan produk petroleum yang diperlukan di wilayah berkenaan.
Ini merupakan konvoi ke-92 yang dihantar dari Mesir ke Gaza sejak ERC melancarkan inisiatif bantuan kemanusiaan pro-Gaza pada akhir Julai. Organisasi itu berkata ia telah menyalurkan lebih setengah juta tan bahan kemanusiaan dan bantuan kepada Gaza sejak permulaan serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, dengan bantuan kira-kira 35,000 sukarelawan.
Hujan lebat kebelakangan ini membadai Gaza dan merosakkan banyak khemah perlindungan yang rapuh, sekali gus menambah penderitaan penduduknya.
"Jalan yang ditenggelami air dan khemah yang basah menjadikan keadaan hidup yang sudah kritikal bertambah berbahaya. Cuaca sejuk, keadaan sesak dan persekitaran tidak bersih meningkatkan risiko penyakit dan jangkitan," kata Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di akaun X pada Khamis.
Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, Rafah Abu Jazar, meninggal dunia pada Khamis akibat kesejukan di Khan Younis di selatan Gaza, menurut Hospital Perubatan Nasser dalam satu kenyataan.
Munir al-Bursh, ketua pengarah pihak berkuasa kesihatan Gaza, berkata penduduk sedang berdepan keadaan yang sangat sukar dengan perlindungan dan pemanasan yang tidak mencukupi akibat kekurangan bekalan bahan api.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


