DUNIA
Mesir sahkan gelang emas berusia 3,000 tahun dicuri dan dileburkan

Gelang itu diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan manik lapis lazuli, dan dijadualkan untuk dipamerkan dalam pameran “Treasures of the Pharaohs” di Rom bulan depan. - Foto X/Egypt Museum
KAHERAH: Pihak berkuasa Mesir mengesahkan bahawa sebuah gelang emas purba berusia lebih 3,000 tahun telah dicuri dari Muzium Mesir di Kaherah dan dileburkan, mengakibatkan kehilangan besar kepada warisan budaya negara itu.
Ringkasan AI
- Artifak berusia 3,000 tahun dari zaman Firaun Amenemope hilang dari Muzium Mesir dan dileburkan, menyebabkan kerugian besar kepada warisan budaya negara.
- Seorang pakar pemuliharaan dipercayai menjual gelang kepada peniaga perak, yang kemudiannya dijual kepada tukang emas dan dileburkan; empat suspek telah ditahan.
- Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir melancarkan siasatan dan memperketat kawalan di semua lokasi penyimpanan artifak, selaras dengan undang-undang yang memperuntukkan hukuman berat bagi jenayah penyeludupan artifak.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Mesir, seorang pakar pemuliharaan muzium dikenal pasti sebagai dalang utama dalam kes kecurian ini.
Beliau dipercayai menjual gelang tersebut kepada seorang peniaga perak di Kaherah, yang kemudiannya menjualnya kepada tukang emas dengan harga sekitar 180,000 paun Mesir (RM45,000).
Gelang itu akhirnya dileburkan bersama barang kemas lain oleh seorang pekerja di bengkel peleburan emas.
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan gelang tersebut ditukar dengan wang tunai dan dipotong sebelum dileburkan, namun imej kabur tidak menunjukkan ciri khas manik lapis lazuli seperti dalam foto rasmi.
Empat suspek telah ditahan dan mengaku terlibat dalam jenayah tersebut.
Wang hasil jualan turut dirampas oleh pihak berkuasa.
Pakar Mesirologi, Jean Guillaume Olette-Pelletier, menyifatkan gelang itu sebagai “sangat penting dari segi saintifik”, walaupun reka bentuknya ringkas.
Emas dalam artifak tersebut dipercayai diperbuat daripada aloi khas yang tahan haus, manakala lapis lazuli yang digunakan diimport dari wilayah yang kini dikenali sebagai Afghanistan.
Di bawah undang-undang Mesir, mencuri artifak dengan niat untuk menyeludup boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan denda sehingga 5 juta paun Mesir (RM435,000).
Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir telah mengambil langkah segera untuk menyiasat insiden ini dan memperketat kawalan keselamatan di semua lokasi penyimpanan artifak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami