DUNIA
Mesyuarat tiga hala perkukuh peranan Norway sebagai rakan utama ASEAN

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin (tengah), bersama Timbalan Menteri Luar Norway Andreas Motzfeldt Kravik (kiri) dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Datuk Astanah Abdul Aziz (kanan). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia, Norway dan Sekretariat ASEAN mengadakan mesyuarat tiga hala hari ini, bagi mengukuhkan kerjasama dalam usaha pembinaan keamanan, tindakan iklim dan pembangunan serantau, sekali gus menegaskan semula peranan Norway yang semakin penting sebagai rakan utama ASEAN.
Ringkasan AI
- Malaysia, Norway dan Sekretariat ASEAN mengadakan mesyuarat tiga hala untuk kukuhkan kerjasama dalam keamanan, iklim dan pembangunan serantau.
- Mesyuarat menekankan kerjasama dalam inovasi digital, tenaga hijau, biodiversiti laut dan isu alam sekitar seperti pencemaran plastik.
- ASEAN dan Norway komited melaksanakan Bidang Kerjasama Praktikal 20262030 serta memperluas kerjasama dalam pendidikan, belia dan gender.
Beliau memuji penglibatan Norway dalam Institut ASEAN mengenai Keamanan dan Perdamaian (ASEAN-IPR) dan mengalu-alukan kerjasama berterusan dalam pengantaraan serantau dan diplomasi pencegahan.
Mesyuarat itu turut membincangkan keutamaan bersama dalam bidang kelestarian, tindakan iklim dan perlindungan alam sekitar.
Mesyuarat tiga hala itu diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan, dipengerusikan bersama oleh Mohamad dan rakan sejawatnya dari Norway Andreas Kravik.
Malaysia mengiktiraf sokongan berterusan Norway melalui inisiatif seperti Projek Perubahan Iklim dan Tenaga ASEAN (ACCEPT) serta projek kerjasama ASEAN-Norway mengenai pencemaran plastik di laut (ASEANO).
Kedua-dua pihak telah menyatakan minat untuk memperdalam kerjasama dalam inovasi digital, ekonomi kitaran, biodiversiti laut, dan peralihan tenaga hijau.
Mohamad menekankan kepentingan memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, pembangunan belia, pemerkasaan gender dan amalan perniagaan bertanggungjawab.
Beliau mengulangi komitmen ASEAN untuk memuktamad dan melaksanakan Bidang Kerjasama Praktikal ASEAN-Norway (2026 hingga 2030), dengan menekankan keperluan untuk penyelarasan rapat bersama Sekretariat ASEAN bagi memastikan hasil yang bermakna dan berkesan.
Mesyuarat tiga hala itu mencerminkan peranan ASEAN sebagai convener yang dipercayai untuk pelbagai rakan kongsi serta usaha berterusan memupuk kerjasama konstruktif dan berpandangan ke hadapan, di tengah-tengah ketidaktentuan global.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan rakan dialog ASEAN dan rakan dialog Sektoral.
Mesyuarat peringkat tinggi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai itu, menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami