Skip to main content

Malaysia

APM hadapi kekangan aset, teroka kaedah pemerolehan mampan

PUTRAJAYA, 31 Ogos -- Kontinjen Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memeriahkan suasana pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, hari ini.  Sebanyak 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan, yang turut menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 haiwan dalam perkhidmatan awam.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ismail berkata, ketika ini jumlah aset masih belum memenuhi keperluan semasa berdasarkan trend operasi terkini. - Gambar fail/Bernama

SHAH ALAM: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memerlukan penambahbaikan menyeluruh aset sedia ada supaya keupayaan respons kecemasan berada pada tahap optimum, khususnya dalam menghadapi peningkatan kes dan peluasan liputan operasi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, ketika ini jumlah aset masih belum memenuhi keperluan semasa berdasarkan trend operasi terkini.

Advertisement

“Sudah sampai masa kita secara serius memikirkan satu norma baharu kenderaan, tidak kira air atau darat, bagi memastikan kita dapat mengurus semua panggilan yang diterima dengan lebih efisien,” katanya semasa Program Santuni Media MADANI APM Tahun 2026, di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, antara kekangan utama setiap daerah dilengkapi jumlah kenderaan APM yang terhad, sedangkan kawasan liputan dikendalikan adalah luas dan memerlukan respons pantas.

"Misalnya ketika ini, APM hanya memiliki 251 unit jentera Light Rescue Vehicle (LRV) yang juga kenderaan pacuan empat roda, walhal kalau mengikut keperluan norma kita seharusnya ada 371 unit.

"Manakala ambulans pula kita ada 292 unit, berdasarkan keperluan norma kita sepatutnya ada 340 unit.

"Namun sukacita dikongsikan, ambulans APM dilengkapi peralatan lengkap dan mencapai piawaian tinggi, setanding ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya.

Tambahnya, kekangan kuantiti aset itu menyebabkan APM terpaksa membuat keutamaan kes, malah ada kalanya perlu menyalurkan permintaan bantuan kepada agensi penyelamat lain.

"Bagi menangani isu kekurangan aset, APM kini meneroka pelbagai kaedah pemerolehan termasuk pembelian, sewaan serta model konsesi yang dilihat lebih mampan dalam jangka panjang.

"Melalui pendekatan konsesi, APM berpotensi memperoleh kenderaan baharu secara berkala, sekali gus memastikan aset sentiasa berada dalam keadaan baik dan menggunakan teknologi terkini," katanya.

Must Watch Video