DUNIA
Mexico umum pelan AS$4 bilion tingkatkan keterjaminan makanan susulan tarif AS

Antara lain, Kerajaan Mexico menyasarkan peningkatan pengeluaran jagung daripada 21.3 juta tan kepada 25 juta tan dan kekacang daripada 730,000 tan kepada 1.2 juta tan, di bawah pelan untuk meningkatkan pengeluaran domestik. - Foto X Julio Berdegue
MEXICO CITY: Mexico akan melabur lebih AS$4 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import susulan langkah tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), umum Kerajaan Mexico pada Jumaat, lapor Xinhua.
Pelan itu, yang dibentangkan oleh Setiausaha Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Mexico Julio Berdegue, akan memperuntukkan sebanyak 83.76 bilion peso Mexico (AS$4.1 bilion) dari 2025 hingga 2030 untuk meningkatkan pengeluaran domestik bagi tanaman dan produk asas seperti jagung, kekacang, beras, koko, susu dan madu.
Pelan berkenaan turut merangkumi bantuan kepada 750,000 pengeluar kecil dan sederhana, serta pengembangan program-program kerajaan berkaitan tuaian, bekalan makanan, baja dan pemprosesan.
Ia juga melibatkan inisiatif seperti transformasi syarikat Liconsa bagi meningkatkan pengeluaran susu, penetapan harga minimum dan insurans tanaman, penyediaan pinjaman berkadar faedah rendah bagi risiko iklim dan perosak, serta bantuan teknikal dan ekologi melalui agensi nasional.Kerajaan menyasarkan peningkatan pengeluaran jagung daripada 21.3 juta tan kepada 25 juta tan, kekacang daripada 730,000 tan kepada 1.2 juta tan, beras daripada 221,500 tan kepada 450,000 tan, dan susu daripada 687 juta liter kepada 1.3 bilion liter setahun menjelang 2030.
Semua barangan yang dihasilkan di bawah pelan ini akan dilabelkan dengan tanda "Hecho en Mexico" ("Dibuat di Mexico") sebagai sebahagian daripada strategi keterjaminan makanan negara, salah satu daripada 18 keutamaan nasional Presiden Claudia Sheinbaum.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami