Sekurang-kurangnya enam akaun Facebook palsu atas nama penumpang pesawat penerbangan MH17 dikesan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menipu, lapor Canberra Times.

Semua akaun itu mempunyai pautan ke satu blog yang mendakwa ada maklumat mengenai nahas itu.

Pengguna Internet yang pergi ke blog itu bagaimanapun akan dihujani oleh pelbagai iklan judi, skim cepat kaya dan pelbagai produk serta perkhidmatan.

Mashable melaporkan Facebook sudah membuang semua akaun itu.

Keadaan sama berlaku semasa tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 empat bulan lalu. Selain akaun Facebook palsu, ada juga beberapa video dan berita palsu yang muncul di jaringan media sosial. Sesetengahnya mendakwa pesawat yang hilang itu sudah ditemui.

Pengguna yang pergi ke pautan palsu itu akan sampai ke laman web lain yang boleh mengaut segala maklumat peribadi mereka serta menyebarkan perisian hasad (malware).

Di luar dunia digital, penipu dan perompak juga bermaharajalela. Wartawan yang sampai ke lokasi nahas MH17 di melaporkan ada bagaimana beg penumpang telah diselongkar manakala barangan peribadi penumpang termasuk beg duit, barangan kemas dan kredit kad dicuri.

Persatuan Perbankan Netherlands pada Sabtu mengeluarkan kenyataan meminta semua bank di negara itu memantau penggunaan kad kredit dari Ukraine. Ia juga menyatakan kesediaan untuk membayar pampasan sekiranya ada kerugian akibat penggunaan kad kredit curi itu.