Pasukan penyiasat dalam kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh memberitahu bahawa mereka telah mengenal pasti serpihan yang 'dipercayai' datang daripada peluru berpandu darat-ke-udara BUK buatan Rusia di timur Ukraine.

"Penyiasat Belanda dan antarabangsa itu dilaporkan menyiasat beberapa bahagian yang mungkin berasal daripada sistem peluru berpandu BUK," kata sebuah kenyataan bersama daripada pendakwaraya dan Lembaga Keselamatan Belanda (OVV).

"Bahagian-bahagian ini telah diambil ketika misi pencarian di timur Ukraine dan berada dalam simpanan pasukan penyiasat jenayah MH17 dan OVV," kata kenyataan itu.

Pesawat MH17 telah ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu hingga mengorbankan kesemua 298 sewaktu melintas kawasan konflik peperangan antara tentera Kiev dan pejuang pemisah pro-Rusia.

Ukraine dan banyak pihak lain di Barat telah menuduh pemisah pro-Rusia bertanggungjawab menembak jatuh MH17 menggunakan peluru berpandu yang dibekal oleh Rusia.

Namun, Rusia dan kumpulan pemberontak tersebut menafikan keterlibatan mereka sebaliknya menuding jari kepada tentera Ukraine.

BACA: Rusia tidak menentang siasatan, hanya mahu keadilan - Peguam

Anggota pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang diwakili Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, Britain, Amerika Syarikat dan Rusia kini sedang bermesyuarat di Hague bagi membincangkan draf laporan OVV mengenai punca tragedi berkenaan.

Kenyataan daripada OVV dan JIT menyatakan bahawa serpihan yang diperiksa itu 'boleh memberikan lebih banyak maklumat mengenai pihak yang terlibat dalam punca nahas itu'.

"Atas alasan itu, pihak JIT membuat siasatan lanjutan mengenai asal-usul bahagian serpihan berkenaan. JIT akan menyenaraikan bantuan antarabangsa yang terdiri daripada pakar forensik dan senjata," katanya.

Para penyiasat menegaskan bahawa 'kesimpulan tidak dapat diperoleh buat masa ini kerana terdapat kaitan kesan serta akibat antara serpihan yang ditemui dengan nahas MH17'.

Bulan lalu, Rusia telah memveto draf Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk penubuhan tribunal antarabangsa berkenaan MH17.

Negara-negara yang terlibat dalam usul itu kini sedang memikirkan saluran lain untuk pendakwaan, walaupun belum ada suspek telah dikenal pasti mahupun ditahan.

OVV bakal mengeluarkan laporan akhir mengenai 'apa' yang menembak jatuh pesawat MH17 pada Oktober.

BACA: Malaysia kecewa Majlis Keselamatan tolak tribunal sementara