Skip to main content

Dunia

Michigan tolak kempen penuh kebencian, dendam - El-Sayed

El-Sayed, yang dilahirkan di AS oleh ibu bapa imigran Mesir, bakal menjadi senator Muslim pertama di negara itu. - Foto AP
El-Sayed, yang dilahirkan di AS oleh ibu bapa imigran Mesir, bakal menjadi senator Muslim pertama di negara itu. - Foto AP

Ringkasan AI

  • Abdul El-Sayed memenangi kerusi Senat Amerika Syarikat di Michigan, menewaskan calon Republikan Mike Rogers, menurut laporan Associated Press.
  • Kemenangan ini mengukuhkan penguasaan Parti Demokrat di Senat selepas memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya pertengahan penggal.
  • El-Sayed, yang dilahirkan di AS oleh ibu bapa imigran Mesir, bakal menjadi senator Muslim pertama di negara itu.
Advertisement

WASHINGTON: Bakal Senator Amerika Syarikat (AS) Abdul El-Sayed berkata pengundi Michigan menolak kempen berunsur kebencian yang menyasarkan identitinya sebagai seorang Muslim sepanjang persaingan merebut kerusi Senat, lapor Associated Press (AP).

Kemenangan El-Sayed ke atas calon Republikan Mike Rogers yang diumumkan awal Rabu memberikan satu lagi kejayaan penting kepada Parti Demokrat di Michigan, antara negeri yang menjadi tumpuan dalam pilihan raya itu.

Keputusan itu turut mengukuhkan penguasaan Parti Demokrat di Senat selepas parti berkenaan memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa.

Advertisement

El-Sayed dilahirkan di AS selepas ibu bapanya berhijrah dari Mesir.

“Michigan membuktikan betapa besarnya jiwa rakyat negeri ini. Mereka menolak kempen yang sarat dengan kebencian dan dendam, yang langsung tidak menyentuh isu sebenar, sebaliknya hanya menjadikan nama dan identiti saya sebagai sasaran.

Advertisement

“Rakyat Michigan menolak pendekatan itu. Setiap daerah, tanpa terkecuali, menunjukkan penentangan terhadap kempen berkenaan,” katanya.

El-Sayed, yang bakal menjadi senator Muslim pertama di AS, memberitahu AP menerusi telefon bahawa pagi itu memberikan ruang kepadanya untuk merenung erti kemenangan berkenaan, termasuk maknanya kepada dua anak perempuannya yang masih kecil.

Menurutnya, anak perempuannya yang berusia tiga tahun masih belum memahami apa yang berlaku, manakala anaknya yang berusia lapan tahun sudah mengerti kejayaan itu, namun menganggapnya sebagai sesuatu yang biasa.

"Kini, perkara ini menjadi sesuatu yang akan mereka baca dalam buku sejarah," kata beliau.

Dengan kira-kira 97 peratus undi telah dikira, El-Sayed mendahului Rogers dengan kelebihan 7.0 mata peratusan.

Menurut data pengundian AP, setiap daerah di Michigan mencatatkan peralihan sokongan ke arah Parti Demokrat berbanding pilihan raya 2024.

-- BERNAMA-AP

Must Watch Video

Advertisement