ISTERI kepada Presiden Amerika Syarikat Melania Trump mendedahkan bahawa anak mereka Barron Trump pernah dijangkiti COVID-19.

Menurut Wanita Pertama itu, Barron, 14, tahun diuji positif jangkitan COVID-19 selepas kedua-dua ibu bapanya dijangkiti virus itu.

Melania berkata mimpi ngerinya menjadi kenyataan apabila Barron disahkan positif.

“Nasib baik, Barron ialah remaja yang kuat dan tidak menunjukkan sebarang simptom.

"Saya bersyukur kami bertiga melalui ujian ini pada masa yang sama dan dapat menjaga satu sama lain serta meluangkan masa bersama-sama,” katanya.

Menurut Melania (kanan), Barron (kiri) diuji positif jangkitan COVID-19 selepas kedua-dua ibu bapanya dijangkiti virus itu.

Beliau membuat pendedahan tersebut dalam satu esei berjudul "My Personal Experience With COVID-19", yang disiarkan di laman web White House.

Katanya, sejak itu, anaknya diuji negatif bagi virus tersebut.


Sebelum ini, Melania dan Trump disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 2 Oktober lalu.

Mereka kini dilaporkan sudah sembuh sepenuhnya.


Keadaan kesihatan Trump menyebabkan Debat Presiden Amerika Syarikat kedua yang dijadualkan berlangsung pada Khamis (waktu tempatan) dibatalkan.

Ia digantikan dengan sesi “town hall” atau balai rakyat di televisyen pada jam 8 malam pada Khamis (waktu tempatan) di saluran televisyen yang berbeza.

Setakat Khamis (15 Oktober 2020), Amerika Syarikat merekodkan 7,916,099 kes positif COVID-19 dan 216,872 kes korban.