GENEVA: Syarikat farmaseutikal Moderna sedang mengusahakan dos penggalak satu suntikan untuk COVID-19 dan selesema.

Ketua Pegawai Eksekutif Stephane Bancel berharap syarikatnya akan berjaya menghasilkan gabungan vaksin penggalak itu bagi kegunaan pada tahun seterusnya.

Jelas Bancel, ia bagi memastikan orang ramai tidak perlu mendapatkan dua vaksin berbeza iaitu COVID-19 dan selesema terutama pada musim sejuk.

"Matlamat kami adalah untuk menghasilkan satu dos penggalak tahunan supaya kami tidak menghadapi masalah pematuhan yang mana orang ramai tidak mahu mendapatkan dua hingga tiga suntikan pada musim sejuk.

"Tetapi mereka mendapat satu dos iaitu dos penggalak untuk COVID-19 dan penggalak untuk selesema dan RSV, untuk memastikan orang ramai mendapat vaksin mereka," katanya.

Syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dikritik hebat kerana mengutamakan pengedaran vaksin COVID-19 ke negara kaya dengan hanya sebahagian kecil daripada bekalannya memasuki negara miskin melalui COVAX.

Bancel berkata Moderna menyasarkan untuk menghasilkan kira-kira 2 hingga 3 bilion dos tahun ini dan berharap data daripada vaksin baharu yang diubah suai untuk menangani varian Omicron pada Mac.