FIRMA biotech Amerika Syarikat (AS), Moderna Inc pada Isnin mendakwa vaksin COVID-19 yang dihasilkannya adalah 94.5 peratus berkesan untuk menangani jangkitan virus berkenaan.

Memetik laporan Reuters, Moderna berkata ia berdasarkan data interim daripada ujian klinikal peringkat akhir.

Ia sekali gus menjadikan Moderna sebagai syarikat AS kedua dalam masa seminggu untuk melaporkan keputusan yang memberangsangkan.

Analisis interim Moderna dibuat berdasarkan 95 jangkitan dalam kalangan peserta yang menerima suntikan plasebo atau suntikan vaksin.

Daripada jumlah tersebut, hanya lima jangkitan berlaku kepada mereka yang menerima dua suntikan vaksin selang 28 hari.

Menurut laporan yang sama, kelebihan utama vaksin Moderna ialah ia tidak memerlukan suhu yang terlampau sejuk seperti vaksin syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer, bersama BioNTech dari Jerman.

Ia sekali gus menjadikan vaksin Moderna iaitu mRNA-1273 lebih mudah untuk diedarkan.

Moderna juga menjangkakan bahawa vaksin mRNA-1273 itu akan stabil pada suhu peti sejuk standard iaitu dua hingga lapan darjah Celsius untuk 30 hari dan ia boleh disimpan sehingga enam bulan pada suhu negatif 20 darjah Celsius.

Data daripada ujian klinikal Moderna yang disertai 30,000 menunjukkan vaksinnya berjaya mencegah kes COVID-19 yang teruk.

Daripada 95 kes ujian percubaan Moderna, 11 merupakan kes teruk dan kesemua 11 kes itu adalah dalam kalangan sukarelawan yang mendapat suntikan plasebo.

Selain itu, Moderna menjangkakan akan menghasilkan sebanyak 20 juta dos vaksin untuk AS pada tahun ini, yang mana jutaan dos telah dihasilkan dan siap untuk diedarkan selepas mendapat kebenaran Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS.

Moderna telah menerima hampir AS$ 1 bilion bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan daripada kerajaan AS dan mempunyai perjanjian berjumlah AS$ 1.5 bilion untuk 100 juta dos.

Firma biotech itu juga berhasrat menghasilkan antara 500 juta hingga 1 bilion dos pada tahun 2021, yang akan dibahagikan antara tapak pembuatan AS dan antarabangsa serta bergantung kepada permintaan.

Sebelum ini, Pfizer dan BioNTech mengumumkan penghasilan vaksin yang menunjukkan 90 peratus keberkesanan dalam mengelak virus korona.

BACA: Kenali pasangan suami isteri di sebalik vaksin Pfizer-BioNTech




Susulan itu, Rusia mengumumkan vaksin Sputnik V buatan mereka adalah 92 peratus berkesan dalam mengelak jangkitan COVID-19, berdasarkan hasil kajian ujian klinikal fasa ketiga yang dijalankan.

Sputnik V dikatakan mendahului Pfizer selepas vaksin itu berjaya didaftarkan untuk kegunaan seawal Ogos 2021, menjadikan Rusia negara yang pertama mendftarkan vaksin.