NEW DELHI: Malaysia dan India terus memperkukuh hubungan strategik menerusi mesyuarat dua hala antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari India, Dr S. Jaishankar di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Negara Rakan BRICS di New Delhi pada Jumaat.
Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam kerangka BRICS selain membincangkan hubungan dua hala Malaysia-India serta isu serantau dan antarabangsa.
Kenyataan tersebut berkata, pertemuan itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperluas kerjasama strategik demi manfaat bersama.
Malaysia menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS sebagai Negara Rakan BRICS dengan fokus memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan serta reformasi tadbir urus global.
India merupakan Pengerusi BRICS bagi tahun 2026 dengan tema “Building for Resilience, Innovation, Cooperation and Sustainability” yang memberi tumpuan kepada daya tahan ekonomi, inovasi, kerjasama dan pembangunan mampan.
Hubungan dua hala Malaysia dan India dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India pada Ogos 2024.
India juga merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah perdagangan dua hala direkodkan sebanyak USD18.59 bilion pada 2025.