DUNIA

Mogok doktor di England mungkin cetus pengurangan petugas - NHS

Bernama 14/11/2025 | 13:33 MYT
Ribuan doktor pelatih melancarkan mogok di seluruh England pada Jumaat berhubung pertikaian mengenai gaji. - AP
LONDON: Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS) mungkin terpaksa mengurangkan petugas barisan hadapan serta membatalkan janji temu dan pembedahan pesakit jika mogok doktor berterusan, menurut kepimpinan NHS, lapor PA Media/dpa.

Ketika ribuan doktor pelatih melancarkan mogok di seluruh England pada Jumaat berhubung pertikaian mengenai gaji, Konfederasi NHS dan Penyedia Perkhidmatan NHS berkata tindakan berterusan itu meningkatkan tekanan terhadap belanjawan yang sedia terhad.

Tindakan selama lima hari itu merupakan mogok ke-13 oleh doktor sejak Mac 2023, dengan mogok terakhir pada Julai dianggarkan menelan kos GBP300 juta (AS$394 juta) kepada perkhidmatan kesihatan.

Doktor pelatih membentuk kira-kira separuh daripada tenaga kerja perubatan dalam NHS dan mempunyai pengalaman sehingga lapan tahun bekerja sebagai doktor hospital atau tiga tahun sebagai pengamal perubatan umum.

Konfederasi NHS dan Penyedia Perkhidmatan NHS berkata jika perkhidmatan kesihatan terus menanggung kos akibat mogok itu, ia boleh membawa kepada pengurangan petugas dan pengurangan jumlah ujian, janji temu serta pembedahan.

Kesan langsung kepada pesakit ialah mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rawatan dan ramai mungkin tidak lagi dapat bekerja tanpa rawatan yang mereka perlukan, menurut kumpulan itu.

Kumpulan itu juga memberi amaran bahawa mogok menjejaskan kemajuan usaha mengurangkan senarai menunggu NHS. Data pada Khamis menunjukkan tanda awal penurunan senarai menunggu, dengan September mencatat sedikit penurunan selepas tiga bulan berturut-turut mengalami kenaikan.

-- BERNAMA


#mogok #doktor england #gaji #kekurangan petugas #protes #NHS