SEOUL: Pengasas dan tokoh utama di sebalik kumpulan K-pop terkenal BTS, Bang Si-hyuk, berdepan kemungkinan ditahan selepas polis Korea Selatan meminta pendakwa mendapatkan waran tangkap terhadapnya atas dakwaan penipuan dagangan saham.
Bang, 53, dituduh mengelirukan pelabur pada 2019 dengan menyatakan bahawa penyenaraian awam syarikatnya, Hybe, tidak mungkin berlaku, sedangkan persiapan untuk penyenaraian sudah pun dijalankan secara sulit.
Advertisement
Hybe kemudiannya disenaraikan di bursa Kospi pada Oktober 2020.
Polis mendakwa Bang memperoleh sekitar 200 bilion won (AS$136 juta) hasil perjanjian perkongsian keuntungan dengan dana ekuiti swasta sebelum penyenaraian awam, tanpa pendedahan sewajarnya. Bang menafikan sebarang salah laku.
Kes itu, yang telah disiasat sejak beberapa tahun lalu, menyaksikan serbuan ke ibu pejabat Hybe, pembekuan sebahagian aset Bang dan larangan ke luar negara sejak Ogos lalu.
Hybe menegaskan pihaknya telah mematuhi nasihat penaja jamin penyenaraian dan tiada keperluan pendedahan tambahan.
Permintaan waran tangkap dibuat ketika BTS baru memulakan jelajah dunia semula selepas hampir empat tahun berehat, yang dijangka menjana lebih AS$1 bilion kepada Hybe.
Saham syarikat itu melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh empat tahun selepas pengumuman jelajah berkenaan.
Jika disabitkan kesalahan, Bang berdepan hukuman penjara antara lima tahun hingga seumur hidup mengikut undang-undang Korea Selatan bagi kesalahan memperoleh keuntungan haram melebihi 5 bilion won.
Peguam Bang berkata mereka kesal dengan langkah polis itu dan akan terus bekerjasama dengan proses undang-undang.
Kes ini berlaku dalam suasana penguatkuasaan lebih tegas oleh pihak berkuasa Korea Selatan terhadap amalan manipulasi pasaran saham melibatkan tokoh korporat berprofil tinggi.