IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memaklumkan insiden melibatkan seorang guru disiplin dan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah di Kuala Kangsar adalah berpunca daripada provokasi semasa pemeriksaan disiplin.
Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, kejadian kira-kira jam 7.50 pagi Rabu itu berlaku semasa pemeriksaan penampilan diri pelajar di dewan serba guna sekolah berkenaan.
Menurutnya, dalam pemeriksaan tersebut, tiga pelajar lelaki Tingkatan Lima didapati melanggar peraturan berkaitan warna rambut sebelum diarahkan berkumpul di bahagian tangga dewan.
“Bagaimanapun, pelajar terbabit enggan mematuhi arahan dan bertindak mengeluarkan kata-kata dalam nada kasar terhadap guru berkenaan.
“Situasi itu menyebabkan guru terbabit hilang sabar sebelum bertindak di luar jangka terhadap seorang daripada pelajar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, dua pelajar bertindak meninggalkan kawasan sekolah dalam keadaan emosi dan menjerit sebelum pihak sekolah menghubungi ibu bapa masing-masing.
Katanya, perbincangan telah diadakan secara berasingan bersama ibu bapa pelajar pada hari sama dan telah mencapai jalan penyelesaian terbaik.
"Dalam perbincangan itu, ibu bapa bersetuju mahu anak mereka mematuhi peraturan sekolah khususnya tidak lagi mewarnakan rambut, selain berharap guru mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan," katanya.
Terdahulu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah ketika mengulas kejadian tersebut memaklumkan, pihaknya sedang menunggu laporan rasmi daripada JPN Perak bagi menentukan kesahihan kejadian tersebut sebelum sebarang tindakan diambil. - Sinar Harian